
Seorang ibu mendakwa anak lelakinya yang berusia 15 tahun mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Difahamkan Mangsa Bukan Pembuli, Tapi Kami Juga Tak Salahkan Suspek’ – Ibu Saudara Pelajar Kes T*kaman
Artikel Berkaitan: ‘Jika Ada Dakwaan Dia Membuli, Saya Rasa Tidak Mungkin Berlaku’ – Bapa Mangsa Serah Siasatan Kepada Polis
Risiko hilang pendengaran

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian tersebut menyebabkan remaja berkenaan berdepan risiko kehilangan pendengaran selepas mengalami kecederaan pada bahagian telinga kanan.
Ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu selepas anaknya pulang dari sekolah dan menceritakan kejadian yang berlaku kerana sebelum itu remaja berkenaan dipercayai takut untuk bersuara.
Pemeriksaan di hospital mendapati pendengaran dia terganggu susulan kecederaan tersebut, selain mengalami bunyi berdesing dan rasa berdenyut pada telinga.
Bagaimanapun, keadaan pendengarannya menunjukkan sedikit perkembangan selepas menerima rawatan, namun masih memerlukan pemantauan doktor secara berkala.
Nurhaswaty turut mendakwa anaknya sudah berdepan gangguan daripada kumpulan pelajar sama sejak berada di Tingkatan Satu.
Antara dakwaan kejadian terdahulu termasuk mangsa dicekik, dibanting ke lantai serta ditendang pada bahagian kepala.
Dalam kejadian terbaru, mangsa didakwa diserang ketika dalam perjalanan ke kelas sekitar jam 8.30 pagi sebelum mengalami kecederaan pada kepala, telinga, leher dan badan.
Susulan kejadian itu, mangsa diberikan cuti sakit selama dua minggu bagi membolehkan dirinya menjalani proses pemulihan fizikal dan emosi.
Remaja itu kini mendapatkan rawatan psikiatri dan hanya akan kembali ke sekolah selepas keadaan emosinya disahkan stabil.
Dalam perkembangan sama, penasihat undang-undang keluarga, Datuk Azar Irwan Arifin memaklumkan pihak keluarga bercadang mengambil tindakan sivil terhadap suspek termasuk ibu bapa atau penjaganya.
Tuntutan berkenaan antaranya melibatkan kecederaan yang dialami mangsa serta kos rawatan perubatan.
Sumber: Sinar Harian







