berita

Pelajar Pukul Cikgu Disiplin Dengan Batang Penyapu Sebab Marah Rambut Digunting

August 5th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Angkara berang rambut dipotong, seorang pelajar tingkatan tiga bertindak memukul guru wanita di sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada Rabu.

Ugut bunuh, pukul dengan penyapu

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, mangsa yang juga guru disiplin, 52 tahun pada ketika itu sedang membuat rondaan sebelum diserang pelajar tingkatan 3 itu.

Pada kejadian kira-kira pukul 12:30 tengah hari itu, guru wanita terbabit menerima laporan daripada seorang guru lain berhubung pelajar lelaki berusia 15 tahun yang berambut panjang.

Arsad berkata, mangsa kemudian bertindak menggunting rambut pelajar lelaki itu.

Pelajar lelaki itu marah dan mengugut mahu membunuh. Dia kemudian bertindak memukul mangsa dengan batang penyapu.

Akibat pukulan itu, mangsa cedera di mata kirinya.

Susulan itu, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah melakukan serbuan ke sebuah rumah dan menahan suspek.

Hasil ujian air kencing suspek adalah negatif dan semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga esok membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 (KK).

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×