berita

Pelajar Rai ‘Merdeka’ Selepas SPM Diserbu Polis, Keluar 17 Saman

November 28th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Seperti yang kita sedia maklum bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja melabuhkan tirainya baru-baru ini. Oleh itu, para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM ini seperti telah merdeka dan tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan ini untuk meraikan pengakhiran zaman persekolahan mereka bergelar seorang pelajar.

Terbaru, sekumpulan pelajar tingkatan lima di beberapa kawasan tumpuan pelancong di Melaka dikatakan telah ditahan oleh pihak polis berikutan dengan tindakan mereka yang mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya.

Menunggang motosikal secara melulu

Menerusi Astro Awani, kumpulan pelajar ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman dengan berbuat bising malah mereka telah menunggang motosikal secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Kejadian ini dikatakan berlaku di sekitar Bandar Melaka dan Klebang sebaik sahaja peperiksaan SPM tamat.

Pelajar-pelajar yang berusia antara 16 hingga 17 tahun ini berkumpul di jalan raya dengan membuat pelbagai aksi berbahaya dengan menunjukkan lagak samseng mereka. Tidak kurang juga ada diantara mereka yang merokok secara terang-terangan di tempat awam. Bukan sahaja pelajar lelaki yang terlibat dalam pesta ini malah pelajar perempuan juga dilihat turut terlibat dalam aktiviti tidak sihat tersebut.

17 saman telah dikeluarkan

Sementara itu, menerusi Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, seramai 13 orang pelajar yang berusia antara 16 hingga 17 tahun telah ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan sebaik sahaja keterangan mereka diambil. Tambahnya lagi, sebanyak 17 saman telah dikeluarkan pihaknya kepada 17 pelajar SPM tersebut atas kesalahan trafik seperti tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, cukai perjalanan yang tamat tempoh dan sebagainya.

Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Batang Tiga dan kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Lalu Lintas.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro

SKIP THIS AD ×