Semalam merupakan hari pertama sesi persekolahan selepas empat bulan para pelajar bercuti berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Namun begitu, negara dikejutkan dengan satu berita dukacita apabila seorang pelajar didapati meninggal dunia di dalam kelas.
Tiba-tiba pengsan
Menerusi laporan Harian Metro, pelajar tersebut dikenali sebagai Amiruddin Naim Ariffin. Pelajar tingkatan tiga itu dipercayai berada dalam keadaan sihat sebelum tiba-tiba pengsan di dalam kelas dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, arwah berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang petanda semasa pemeriksaan suhu dilakukan di awal persekolahan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan proses bedah siasat akan dijalankan oleh pihak hospital bagi mengenal pasti punca kematian. Amiruddin Naim Ariffin yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Kuala Lumpur, dimaklumkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber: Harian Metro