Seorang pelajar wanita warga asing berusia 20-an ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa.

Artikel Berkaitan: Mayat Kanak-Kanak Hilang Ditemui Di Kawasan Paya

Pelajar warga asing

Gambar sekadar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly memaklumkan, pihak polis menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar jam 11.03 pagi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang juga penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat yang akan dilakukan esok bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurut M Hussin, susulan itu pihaknya telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an yang juga penuntut di IPTS sama.

Bukan itu sahaja, beberapa barangan kes yang dipercayai boleh membantu siasatan turut dirampas.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Surianti Lataera di talian 013- 3352547.

Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mencetuskan spekulasi dengan menyebarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut, sehingga mengganggu siasatan polis.

Sumber: Harian Metro