Pelakon era 1990-an, Ridani Ghani dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 52 tahun kira-kira pukul 7 pagi Isnin di Hospital Selayang selepas bertarung dengan kanser ovari sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan: Pelakon Meninggal Dunia, Pengsan Ketika Live TikTok

Al-fatihah

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh teman rapatnya, Yaya Maembong. Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan.

Ridani sebelum ini disahkan menghidap kanser ovari pada Oktober tahun lalu. Keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot sehingga dimasukkan ke Hospital Selayang pada Sabtu lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, Allahyarham berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan rapi sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi Isnin.

Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata, Muhammad Faris Syamir Jaafar, 35, dan Muhammad Faiq Faisal Jaafar, 33.

Pada Ahad, Muhammad Faris, memaklumkan ibunya ditempatkan di Wad Penjagaan Paliatif Hospital Selayang selepas keadaan kesihatan semakin membimbangkan. Bagaimanapun, Allahyarham tidak ditidurkan sepenuhnya.

Sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, Ridani pernah membintangi pelbagai drama popular termasuk Romeo dan Juliet, Kilauan serta siri Spektra.

Sumber: Berita Harian