Pelakon veteran Korea Selatan, Song Young Kyu, ditemui meninggal dunia pada pagi Isnin di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan perumahan di Yongin, Wilayah Gyeonggi.

Siasatan lanjut masih dijalankan

Memetik laporan Soompi, setakat ini, pihak berkuasa memaklumkan kematian mangsa yang berusia 52 tahun itu tiada unsur jenayah.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis dijangka akan menyoal siasat ahli keluarga bagi mengenal pasti dengan lebih jelas keadaan yang membawa kepada kematian aktor tersebut.

Pada 19 Jun lalu, Song Young-kyu, pelakon yang dikenali menerusi watak ketua skuad dalam filem Extreme Job (2019), ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Menurut polis, dia memandu sejauh kira-kira 5 kilometer di Yongin dengan kadar alkohol 0.08 peratus melebihi had yang membolehkan lesen dibatalkan. Kes berkenaan telah diserahkan kepada pendakwa dan menunggu tindakan lanjut.

Ekoran insiden itu, Song digugurkan daripada dua drama utama dan sebuah pementasan teater. 

Untuk info, Song memulakan kerjaya lakonan pada tahun 1994 dan telah membintangi lebih 40 drama serta pelbagai filem. 

Song turut dikenali antarabangsa menerusi siri Narco-Saints (Netflix) dan Big Bet (Disney+) yang ditayangkan pada 2022.

Sumber: Soompi