berita

Pelawak Terkenal Ditahan Reman Kes Pemerdagangan Manusia

August 3rd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seorang pelawak lelaki terkenal ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan dalam kes pemerdagangan manusia. Berikutan daripada dakwaan itu, suspek telah ditahan reman selama empat hari.

Pelawak ditahan reman

Memetik laporan Sinar Harian, hasil maklumat dan risikan, Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menahan lelaki berusia 40-an itu di salah sebuah hotel di Kuala Pilah ketika melakukan serbuan Ops Pintas. Semasa serbuan dilakukan, pihak polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, mangsa yang mendapat perlindungan sementara itu kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat buah telefon bimbit.

Menurut sumber, suspek telah ditahan reman selama empat hari dan kes ini disiasat mengkut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Bukan itu sahaja, suspek turut dikenakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu merentas negeri tanpa kebenaran.

Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×