
Cabaran menjayakan filem Peluru Senja bukan sekadar melibatkan aksi lasak, malah barisan pelakon turut berdepan keadaan lokasi yang tidak menentu sepanjang menjalani penggambaran di Bali, Indonesia.
Pelakon Fabian Loo berkongsi pengalaman mencemaskan apabila lokasi hutan yang sepatutnya digunakan untuk babak serang hendap berubah menjadi kawasan berlumpur selepas hujan turun tanpa henti selama dua minggu.
Artikel Berkaitan: Nama Fabian Loo Sudah Dikenali, Banyak Dipanggil Pergi Uji Bakat
Fabian Loo berlakon dalam lumpur
Lebih mendebarkan, keadaan tersebut turut menyaksikan Fabian dan barisan pelakon perlu meneruskan penggambaran dalam keadaan dikelilingi haiwan seperti ular, cicak bersaiz besar serta kala jengking.
Jika diingat balik saya sendiri tidak sangka kami sanggup lakukan (ketawa). Realiti ketika tinjauan lokasi dan hari penggambaran sangat berbeza. Ketika tinjauan lokasi, produksi jumpa satu kawasan hutan yang sesuai untuk babak serangan hendap.
Tapi dua minggu hujan turun tanpa henti telah mengubah lokasi tersebut menjadi lumpur. Suka atau tidak, kami semua terpaksa bergelut dengan keadaan itu sambil ditemani ular, cicak yang besar dan kala jengking yang sebenar.
Memang terasa seperti mimpi ngeri, tetapi mujurlah tiada sesiapa yang cedera sepanjang penggambaran berlangsung.
Menurut Fabian, pengalaman tersebut menjadi antara memori paling mencabar sepanjang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan.
Dibarisi pelakon antarabangsa
Dalam masa sama, Peluru Senja turut menampilkan pelakon dari Indonesia, Asmara Abigail yang melihat karya berkenaan sebagai peluang untuk memperkenalkan sejarah Malaysia menerusi pendekatan yang lebih segar.
Katanya, produksi tidak mahu kisah yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu pada 1948 dipersembahkan dalam bentuk terlalu berat sehingga sukar didekati penonton muda.
Sebaliknya, elemen aksi thriller, sinematografi moden, kesan khas serta muzik bertenaga digunakan bagi menjadikan jalan cerita lebih menarik.
Bukan itu sahaja, penggambaran filem tersebut turut menghimpunkan barisan pelakon dan kru dari pelbagai negara, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada mereka untuk memahami budaya serta sejarah Malaysia.
Walaupun barisan kru dan pelakon filem ini dibarisi oleh pasukan antarabangsa, kami sangat akrab antara satu sama lain sejak awal penggambaran. Paling menarik adalah pelakon dari Amerika Syarikat, Brett, sebelum ini tidak pernah mempelajari sejarah Perang Dunia Kedua dari perspektif Malaysia.
Menerusi filem ini, Brett belajar banyak tentang sejarah dan budaya Malaysia. Jadi, Peluru Senja bukan sekadar projek lakonan untuk kami, tetapi lebih daripada itu.
Peluru Senja (The Ghost & the Gun) merupakan filem fiksyen yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar di Tanah Melayu pada 1948.
Diarahkan Anshul Tiwari, filem berkenaan menampilkan Asmara Abigail, Fabian Loo, Hazman Al Idrus dan Brett Tutor serta bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos 2026, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios.