
Dalam industri hiburan hari ini, memiliki fanbase yang kuat boleh menjadi antara aset terbesar seseorang artis. Mereka bukan sekadar mendengar lagu atau menonton drama, malah sanggup mengundi, membeli tiket, menghasilkan fan edit, menaikkan hashtag dan mempertahankan idola apabila berdepan kritikan.
Pelakon, Anna Jobling sendiri pernah menyifatkan fanbase sebagai sistem sokongan penting dalam kerjayanya kerana peminat sanggup meluangkan masa menghasilkan video, mengundi dan hadir ke acara untuk menyokong artis kesayangan mereka.
Artikel Berkaitan: ‘Sokongan Daripada Peminat Sangat Penting, Saya Sangat Sayang Mereka’ – Anna Jobling
Artikel Berkaitan: Timbul Salah Faham, Peminat Nak Boikot? 8 Selebriti Tempatan & Antarabangsa Jadi Sasaran ‘Cancel Culture’
Apabila ‘Support’ Bertukar Menjadi Serangan
Kajian mengenai budaya fandom juga menunjukkan penglibatan peminat kini menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran artis. Kajian 2026 mengenai komuniti #SwiftTok misalnya melihat media sosial sebagai ruang di mana promosi, penyertaan peminat dan algoritma bertemu untuk memperluaskan jangkauan sesebuah karya.
Namun apabila kesetiaan berubah menjadi obsesi dan setiap kritikan dianggap sebagai serangan, fanbase yang sepatutnya membantu kerjaya artis boleh menghasilkan kesan sebaliknya.
Menyokong artis kegemaran bukanlah sesuatu yang salah. Masalah bermula apabila konsep sokongan diterjemahkan sebagai kewajipan untuk menyerang sesiapa sahaja yang mempunyai pendapat berbeza.
Situasi seperti ini turut berlaku dalam industri tempatan.
Pada Mac lalu, Shiha Zikir bersuara selepas penyanyi senior Noraniza Idris menerima kecaman daripada segelintir netizen hanya kerana menyatakan sokongan terhadap lagunya, Minta Ampun.
Shiha ketika itu mempersoalkan bagaimana seseorang yang menganggap dirinya peminat boleh sanggup menghina penyanyi lain hanya kerana mempunyai pilihan berbeza. Malah, Shiha berkata dia sendiri sentiasa mengingatkan peminatnya supaya tidak meninggalkan komen toksik terhadap artis lain.
Kes sebegini menunjukkan satu perkara, ‘fan war’ tidak semestinya memerlukan artis untuk bergaduh terlebih dahulu.
Kadangkala artis sendiri tiada masalah antara satu sama lain, tetapi perbandingan yang dilakukan peminat akhirnya mencipta konflik yang sebenarnya tidak wujud.
Terlalu ‘Protective’ Sampai Artis Lain Pula Jadi Mangsa
Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila artis mempunyai pasangan lakonan, rakan duet atau seseorang yang sering dikaitkan dengannya.
Pada Februari lalu, Khai Bahar terpaksa mempertahankan rakan duetnya, Yulia Kamelia, selepas penyanyi wanita itu menerima komen negatif susulan kolaborasi mereka menerusi lagu Toksik.
Menurut Khai, situasi sama pernah berlaku apabila dia digandingkan dengan artis wanita lain. Bagaimanapun, dia menegaskan individu yang meninggalkan komen tersebut bukan peminat setia yang dikenalinya dan dipercayai menggunakan akaun palsu.
Inilah masalah apabila segelintir individu terlalu protective terhadap idola. Artis yang sepatutnya bebas berkolaborasi akhirnya berdepan situasi di mana rakan kerjanya pula perlu bersedia menghadapi kecaman.
Lebih buruk, orang luar mungkin mula mengaitkan perangai segelintir peminat itu dengan nama artis terbabit walaupun artis tersebut tidak pernah meminta mereka bertindak sedemikian.
Bila Kritik Artis Dianggap Sama Seperti Menghina Peminat
Salah satu ciri fandom toksik ialah apabila hampir semua bentuk kritikan dianggap sebagai serangan peribadi. Fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia.
Fanbase penyanyi antarabangsa, Nicki Minaj, dikenali sebagai Barbz, misalnya beberapa kali menjadi perhatian media kerana tindakan agresif segelintir anggotanya terhadap individu yang mengkritik penyanyi rap tersebut.
TIME pada 2024 melaporkan beberapa pencipta kandungan mendakwa maklumat peribadi mereka disebarkan dan mereka menerima gangguan selepas mengkritik Minaj.
Situasinya menjadi begitu serius sehingga Minaj sendiri pernah mengingatkan Barbz supaya tidak membuat ancaman bagi pihaknya. Di sinilah garis antara ‘loyal’ dan ‘toxic’ menjadi semakin jelas.
Seorang peminat boleh tidak bersetuju dengan kritikan terhadap artis kegemarannya. Tetapi apabila respons bertukar kepada ancaman, penghinaan atau penyebaran maklumat peribadi, perbincangan tentang muzik sudah berubah menjadi intimidasi.
Dan akhirnya, nama fanbase itu sendiri mula menjadi sebahagian daripada reputasi artis.
Artis Tak Bergaduh, Peminat Yang Panjangkan Cerita
Budaya fandom juga boleh menyebabkan konflik selebriti terus hidup jauh lebih lama daripada pihak yang terlibat sendiri.
Contoh terkenal ialah hubungan antara peminat Selena Gomez dan Hailey Bieber.
Spekulasi mengenai hubungan kedua-duanya berlarutan bertahun-tahun sehingga pada Mac 2023, Selena sendiri meminta peminat menghentikan serangan selepas Hailey memaklumkan kepadanya bahawa dia menerima ancaman bunuh dan komen penuh kebencian.
Selena menegaskan dia tidak menyokong budaya kebencian atau buli. Situasi itu memperlihatkan paradoks budaya fandom moden.
Kadang-kadang artis sudah mahu bergerak ke hadapan, tetapi peminat masih berperang menggunakan kisah lama mereka. Akhirnya setiap foto, like, unfollow atau hantaran Instagram mula dianalisis seperti petunjuk kepada sebuah konflik besar.
Artis pula terpaksa menjelaskan perkara yang mungkin mereka sendiri sudah tidak mahu bincangkan.
Sampai Pengkritik Pun Takut Nak Bersuara
Kesan budaya stan bukan hanya dirasai oleh artis lain. Wartawan dan pengkritik muzik turut berdepan tekanan.
Reuters Institute for the Study of Journalism melaporkan pada 2025 wartawan muzik yang memberi ulasan negatif atau sekadar kurang positif kepada artis terkenal seperti Taylor Swift, Nicki Minaj, Drake dan BTS pernah berdepan gangguan dalam talian, ancaman dan doxxing daripada segelintir peminat.
Majalah muzik Paste malah pernah memilih untuk tidak mendedahkan nama penulis ulasan album Taylor Swift kerana bimbang mengenai keselamatan pengkritiknya. Ini menimbulkan persoalan lebih besar terhadap industri hiburan.
Kalau setiap kritikan akan dibalas dengan ribuan serangan, masih adakah ruang untuk seseorang memberikan pendapat jujur tentang karya? Kritikan tidak semestinya bermaksud benci. Malah, industri seni memerlukan perbezaan pendapat untuk berkembang.
Akhirnya Artis Juga Terpaksa Menanggung Persepsi
Adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan setiap peminat kepada seseorang artis. Selebriti tidak mampu mengawal tindakan jutaan manusia yang mengikuti mereka, apatah lagi akaun palsu atau individu yang hanya mendakwa dirinya sebagai sebahagian daripada sesuatu fandom.
Namun dalam dunia media sosial, nama artis dan identiti fanbase semakin sukar dipisahkan. Apabila perkara seperti fan war, serangan beramai-ramai atau kecaman terhadap artis lain berlaku berulang kali, orang luar mungkin mula membentuk persepsi tertentu terhadap keseluruhan komuniti tersebut.
Lebih membimbangkan apabila artis sendiri kelihatan membiarkan atau menyuburkan tingkah laku itu. Sebaliknya, artis yang secara terbuka menetapkan sempadan mampu menghantar mesej jelas bahawa menyokong mereka tidak bermaksud menyerang orang lain.
Fanbase Kuat Bukan Yang Paling Banyak Bergaduh
Ironinya, fandom sebenarnya mempunyai kuasa yang jauh lebih besar daripada sekadar memenangi perang komen.
Fanbase boleh membantu lagu mendapat perhatian, memenuhi konsert, menghasilkan kandungan kreatif dan membawa karya seseorang artis merentasi sempadan.
Kajian mengenai fandom BTS ARMY misalnya menunjukkan bagaimana komuniti peminat bukan sahaja membantu aktiviti berkaitan muzik, malah pernah menggerakkan kempen sosial seperti #MatchAMillion.
Dalam konteks Malaysia pula, penyelidikan mengenai komuniti BTS Malaysia mengenal pasti aktiviti seperti streaming party, penciptaan fan art, suntingan grafik dan projek sokongan sebagai antara corak utama aktiviti fandom digital.
Maksudnya, masalahnya bukan pada kewujudan fanbase. Masalah bermula apabila kesetiaan tidak lagi mempunyai batas.
Peminat yang benar-benar membantu kerjaya seseorang artis bukan semestinya mereka yang paling lantang menyerang orang lain, tetapi mereka yang berjaya membuat lebih ramai orang tertarik untuk mengenali karya artis tersebut.
Kerana akhirnya, seseorang artis mungkin mempunyai fandom paling ‘garang’ di media sosial, tetapi kalau setiap kali namanya disebut orang terus teringat kepada fan war dan kecaman, adakah itu masih boleh dianggap kemenangan?
Sumber: XTRA, mStar, mStar, TIME,Los Angeles Times, Los Angeles Times, Reuters Institute for the Study of Journalism, Journal of International and Area Studies







