
Seorang pempengaruh media sosial dikecam hebat susulan tindakannya yang menyerupai wanita dengan mengenakan tudung dan berpakaian seperti perempuan, meskipun mengakui dirinya seorang lelaki.
Artikel Berkaitan: JAIS Gagal Kesan Muhammad Sajjad, Didakwa Sedang Bersembunyi
Tanggung dosa sendiri

Isu itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan penampilannya bertentangan dengan syariat Islam, selain bimbang boleh memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Menerusi satu sesi siaran langsung, pempengaruh berkenaan menjelaskan dia menyedari hukum berkaitan perbuatannya, namun menegaskan segala tanggungjawab terhadap tindakannya itu ditanggung oleh dirinya sendiri.
Netizen dengki dengan saya. Kalau nak bercakap soal agama, saya tahu saya lelaki. Kalau nak cakap lelaki pakai tudung haram, saya yang tanggung sendiri.
Kalau netizen sudah tegur, netizen sudah selamat. Saya yang tanggung semua sendiri. Saya terima semua teguran.
Kalau meninggal sekarang, saya yang tanggung dosa, bukan kalian. Saya solat pun minta dimatikan dalam husnul khatimah.
Terdahulu, video memaparkan pempengaruh terbabit tampil dengan imej berhijab tular di pelbagai platform media sosial sehingga mengundang kritikan ramai.
Rata-rata netizen berkata mereka sudah beberapa kali menegur tindakan berkenaan, namun mendakwa teguran itu tidak diendahkan apabila pempengaruh terbabit terus memuat naik kandungan dengan penampilan yang sama.
Dalam ruangan komen, segelintir pengguna media sosial turut menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang syariah.
Pada masa sama, terdapat juga netizen yang berpandangan isu tersebut wajar ditangani secara berhemah dengan mengutamakan nasihat selain menyerahkan sebarang tindakan lanjut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.
Sumber: Threads








