berita

Pencarian Berakhir! Kapal Selam Titan Meletup Berhampiran Titanic, Semua Penumpang Maut

June 23rd, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Sejak beberapa hari lalu, dunia digemparkan dengan kehilangan satu kapal selam, Titan milik syarikat OceanGate Expeditions di Washington.

Kapal selam hilang

Titan yang membawa lima penumpang melakukan ekspedisi ke tapak bangkai Titanic yang terletak kira-kira 435 batu (700km) di selatan St John’s, Newfoundland.

Mereka sanggup membayar tiket berharga AS$259,000 semata-mata untuk merasai pengalaman hebat tersebut antaranya Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush bersama empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.

Namun siapa sangka, kapal selam kecil yang mampu bertahan selama empat hari dan memiliki bekalan sokongan oksigen selama kira-kira 96 jam itu dipercayai hilang di Lautan Atlantik selepas gagal dikesan kira-kira sejam 45 minit selepas ia mula menyelam, pada Ahad lalu.

Semua penumpang dipercayai maut

Susulan daripada itu, beberapa jentera hebat telah digunakan untuk mengesan lokasi kapal tersebut namun pada Khamis (semalam), Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa kapal selam Titan dipercayai meletup berdekatan Titanic.

Kenderaan kawalan jauh (ROV) menemui lima serpihan bangkai kapal selam tersebut kira-kira 488 meter dari bawah permukaan di kawasan terpencil di Atlantik utara.

Kesemua penumpang Titan dipercayai maut akibat letupan tersebut. Pengumuman itu sekali gus mengakhiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan.

Sumber: BBC, Reuters

SKIP THIS AD ×