berita

Penganalisis Politik Jelas Kepemimpinan PM Antara Faktor Kemenangan BN Di Melaka

December 1st, 2021 | by Nurul
Shout Out!

Kredit: BERNAMA (2021)

Baru-baru ini telah menyaksikan kemenangan parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir, ia turut didorong rasa puas hati dan keyakinan rakyat terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Bajet 2022 dan gagasan Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Malaysia kini.

“Rakyat menilai corak kepimpinan tiga kerajaan daripada blok parti berbeza”

Kredit: BERNAMA (2021)

Tambah beliau juga, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat telah membuat penilaian terhadap corak kepemimpinan tiga kerajaan daripada blok parti berbeza dan akhirnya memilih BN.

“Faktanya, Perdana Menteri telah kemukakan banyak inisiatif dalam usaha meringankan beban rakyat ketika mereka berdepan masalah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rakyat dapat melihat inilah pemimpin dan parti politik yang boleh mereka bergantung harap untuk masa depan lebih meyakinkan,” katanya kepada BH, semalam.

Kredit: Astro Awani

Jelas Jeniri, keyakinan rakyat sangat penting kerana mereka percaya bahawa BN dapat memberikan kestabilan kepada keadaan politik Melaka dan enggan lagi melihat ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan tumpuan ke arah menangani pandemik COVID-19 dan peluang ekonomi khususnya dari segi peluang pekerjaan dan juga pelaburan.

“Ini dimanifestasikan melalui sokongan padu sehingga memungkinkan BN menang 21 kerusi yang bersamaan dengan pencapaian PRU-13,” katanya.

“Dasar & pendekatan PM faktor penyumbang kemenangan BN”

Kredit: New Straits Times

Manakala, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, dasar dan pendekatan Ismail Sabri antara faktor penyumbang kemenangan BN di Melaka dengan perubahan kepemimpinan kerajaan Pusat untuk diterajui pemimpin daripada UMNO dan BN turut memberi nilai tambah kepada parti itu dan jentera pilihan rayanya.

“Ini termasuklah beberapa perkara yang dibawa oleh beliau yang telah meredakan suasana politik melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang. Ia sekali gus membolehkan Ismail Sabri dan kerajaan memberi tumpuan kepada RMK-12, Bajet 2022 dan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata keputusan PRN Melaka menunjukkan pengundi mahu parti yang mempunyai tradisi kestabilan dengan tema kempen diketengahkan BN, iaitu ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ menjadi pelengkap kerana ia menepati kehendak pengundi.

“Kemenangan selesa BN ini menunjukkan pengundi telah memilih parti, tidak melihat kepada persoalan atau dakwaan berkaitan integriti calon. Mereka memilih parti yang ada rekod prestasi stabil sejak 61 tahun lalu, bertepatan dengan tema kempen BN di Melaka iaitu ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’,” katanya.

SKIP THIS AD ×