Pengurus Zamani Slam, Aalan Ahmad meminta semua pihak untuk berhenti dahulu soal mengutip dana buat penyanyi itu. Menurut Aalan, terdapat usaha beberapa pihak tertentu mewujudkan tabung bagi mengutip dana untuk pembedahan tulang belakang penyanyi terbabit yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis.
Di peringkat awal rawatan
Tambah Aalan, memang benar Zamani akan menjalani pembedahan tetapi ia masih di peringkat awal rawatan.
Kita kena buat beberapa ‘medical test’ untuk tahu sama ada dia sihat atau tidak untuk menjalani pembedahan. Kemudian baru kita dapatkan tarikh. Sekarang masih di peringkat awal dan biarlah dulu. Memang benda ini baik dan bagus tapi kami takut ia akan mengundang ‘scammer’. Pihak Zamani pun tidak wakilkan sesiapa atau mana-mana pihak untuk kutip dana. Kami dengar ura-ura berkenaan tabung ini dari pelbagai pihak.
Ujar Aalan lagi, mereka sendiri tidak tahu tarikh sebenar pembedahan kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi.
Kalau dia tak sihat, pembedahan pasti tak dapat dijalankan. Jadi tak perlulah kutip dana pembedahan buat masa ini. Bila kita dah sedia untuk pembedahan, dah dapat tarikh untuk pembedahan dan berapa kos yang diperlukan, barulah kami akan buat sidang media secara rasmi. Kami tak nak ada ‘scammer’ yang akan ambil kesempatan dalam perkara ini.
Terdahulu Zamani menerusi sebuah portal berkata, dia masih menerima undangan nyanyian kerana mahu mengumpul dana perubatan. Malah dia bergantung kepada ubat tahan sakit (painkiller) untuk membolehkannya menyanyi. Dia turut mengakui mengalami sakit selama 24 jam membabitkan perut dan bahagian belakang. Pembedahan terpaksa dilakukan memandangkan rawatan serta ubatan tradisional sudah tidak lagi memberikan kesan kepada dirinya.
Sumber: Harian Metro