Memaparkan kisah hidup pasangan kembar Ellani dan juga Ellana yang dibesarkan oleh ibu saudara mereka setelah ketiadaan kedua orang tua mereka, drama ‘Cukup Derita Itu’ yang menghiasi slot Samarinda di TV3 ini ternyata membuat penonton tidak sabar untuk menanti setiap episod.
Tak tahan bau ubat nyamuk
View this post on Instagram
Dalam episod sebelum ini, penonton dapat menyaksikan di mana Makngah Gayah telah lumpuh setelah terlibat dalam sebuah kemalangan bersama Zarul (Hisyam Hamid) dan ibunya (Rosnah Johari). Susulan daripada itu, Ellani (Ruhainies) terpaksa memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu saudaranya itu di kampung.
Keadaan semakin menjadi rumit apabila suaminya iaitu Zarul turut menetap di kampung. Sebagai seorang yang hilang ingatan, Zarul cuba sedaya upaya untuk melindungi isterinya daripada didera oleh makngah. Namun begitu, pelbagai ragam telah dilakukan oleh Zarul untuk mengajar makngah agar wanita itu sentiasa bersyukur dan tidak menyusahkan Lani.
Antara babak yang membuat penonton terhibur apabila melihat episod semalam ialah Makngah Gayah terpaksa menutup mukanya dengan baldi selepas Zarul menyembur ubat nyamuk di setiap sudut rumah. Lebih teruk, Zarul turut mengikat tangan dan menampal ‘tape’ di mulut makngah kerana tidur berdengkur. Perbuatan Zarul telah mengundang kemarahan isterinya. Jelas Lani, makngah kelihatan agak sakit dan membuang air kecil semasa diperlakukan sebegitu oleh Zarul.
Ayu cuba pikat Zarul?
Selain watak Zarul dan Makngah Gayah, watak Ayu (Sera Mellissa) dan ibunya Mak Yek (Didie Alias) turut mencuri tumpuan penonton. Ayu yang sebelum ini sering memberontak dengan ibunya, kini kelihatan sudah menurut segala kehendak dan permintaan ibunya. Ayu dilihat memberi alasan untuk mahu belajar bersama dengan Zarul bagi mencapai impian ibunya yang mahukan mereka berdua bersama.
Pada masa yang sama, Lani sudah menyedari bahawa Mak Yek cuba untuk memusnahkan rumah tangganya bersama Zarul. Di samping itu, Ayu sudah tidak menghormati bapa tirinya dan membiarkan orang tua tersebut tinggal di bawah rumah mereka. Kalau korang nak tahu apa yang akan jadi dalam episod malam ini dan seterusnya, korang jangan lupa tonton drama ‘Cukup Derita Itu’ karya Siti Rosmizah ini di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.
Sumber: TV3