Pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias memberitahu dia malu untuk berjumpa dengan orang pada waktu ini. Ini kerana, dia takut orang ramai berasa geli dan jijik melihat wajahnya.
Takut orang geli dan jijik
Menerusi laporan Harian Metro, Ustaz Kazim memberitahu dia terpaksa menutup wajahnya dan memakai topi ketika memberi ceramah. Ujar Ustaz Kazim, perasaan malu itu berkurang sekiranya dia memakai pakaian sebegitu. Penampilan terkini Ustaz Kazim itu mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen berhubung status kesihatan dan keadaan terkininya yang sebelum ini mendedahkan dirinya menderita akibat penyakit misteri.
Berkongsi kisah sebenar, Ustaz Kazim berkata, dia terpaksa tampil dengan imej sebegitu ketika berada di khalayak umum kerana penyakit kulit yang dulunya menyerang kaki dan badan akhirnya merebak ke bahagian muka. Menurut Ustaz Kazim, wajahnya bukan hanya berubah menjadi gelap tetapi ada luka dan kadang kala berdarah dengan tiba-tiba. Manakala, luka bahagian kaki dan badannya sudah beransur pulih sejak tiga bulan lalu.
Setakat ini, saya belum tolak lagi undangan. Kiranya, saya masih ceramah macam biasa cuma tidak tahu siapa sampai bila perlu ‘make up’ jadi agak tertekan di situ dan terganggu ketika berceramah hingga jadi tiada keyakinan sedangkan dulu seronok sangat. Saya mohon minta maaf jika terpaksa tolak pelawaan untuk makan dan minum atau bergambar kerana malu sangat dengan keadaan muka dan tidak sedia duduk dekat dengan orang buat masa ini.
Memang ada kejadian misteri berlaku di rumah salah satunya mainan cucu saya berjalan sendiri jam 3 pagi, sama seperti dalam filem seram. Kalau orang kata saya percaya bomoh, benda itu berlaku depan mata saya jadi buat apa saya menipu. Kalau saya ada terlanjur kata, saya mohon maaf, kalau ada yang nak uji ilmu, saya mohon maaf kerana saya saya hanya insan biasa.
Ustaz Kazim turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakannya.
Sumber: Harian Metro