berita

Penyampai Radio Terkejut Rumah Ditembak Individu Tak Dikenali

December 2nd, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang penyampai radio berdepan detik cemas apabila kediamannya di Seri Aman Heights, Desa Jaya ditembak individu tidak dikenali awal pagi semalam.

Rumah DJ ditembak

Foto: Harian Metro

Penyampai radio berkenaan dikatakan terdengar bunyi satu letupan dari luar rumah sebelum menemui kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah. Susulan daripada itu, satu laporan polis telah dibuat dan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke tempat kejadian bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk menjalankan siasatan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, kesan tembakan turut ditemui pada dinding ruang tamu kediaman penyampai radio berkenaan.

Turut dijumpai satu serpihan besi iaitu serpihan anak peluru di bahagian ruang tamu rumah.

Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960. Difahamkan, pihak polis sedang berusaha mengesan suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 03-61262222 / 012-5018901.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×