Sekitar pertengahan tahun lalu, nama penyanyi kelahiran Rusia, Amirchik secara tiba-tiba melonjak di Malaysia setelah lagunya yang berjudul Eta Lyubov menjadi perhatian ramai pendengar.
Terkejut dengan sambutan
Ketika ditemui OhBulan!, penyanyi berumur 19 tahun itu akui teruja untuk meneroka industri muzik dan hiburan tempatan demi sebuah persaingan yang sihat.
Berpeluang menjejakkan kaki ke Malaysia, Amirchik yakin, percaturannya untuk berkongsi rasa dan jiwa muzik bersama peminat dan pendengar mampu membuka peluang yang lebih besar untuknya mencipta nama sebagai pendatang baharu.
Sebenarnya, saya sendiri terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh pendengar di negara ini menerusi lagu Eta Lyubov.
Paling saya tak sangka, kemudiannya saya berupaya meraih kelompok peminat tersendiri di sini meskipun mungkin tidak ada yang benar-benar faham akan bahasa ibunda saya menerusi lagu itu.
Namun, itu menunjukkan betapa muzik itu boleh melahirkan sebuah magis yang membolehkan semua pencintanya menyatu dan saling memahami.
Ia sekali gus mampu mengenepikan soal jurang bahasa kerana apa yang penting ialah ‘rasa’ yang disampaikan menerusi sesebuah lagu itu.
Belajar bertutur bahasa Inggeris
Ditanya adakah dia mengalami kesukaran untuk menyanyi dalam bahasa Melayu menerusi lagu Cinta Ini dan Ku Tak Percaya, Amirchik mengangguk sebagai tanda setuju.
Sebenarnya, agak susah juga untuk saya sebut tetapi banyak lakukan latihan. Lirik lagu Cinta Ini itu dibuat oleh komposer dan penyanyi di sini, Mark Adam. Dia banyak bantu saya untuk sebut dengan betul.
Tetapi jika dibandingkan, bahasa Korea lebih sukar. Saya sendiri pun masih tidak begitu fasih berbahasa Inggeris dan sedang belajar memperbaikinya. Jadi untuk belajar bahasa Melayu, saya mungkin perlu lakukannya perlahan-lahan.
Sekarang pun saya cuma tahu sebut beberapa patah perkataan sahaja.
Dalam pada itu, Amirchik yang berkunjung ke Malaysia sejak beberapa hari lalu turut sempat menjayakan program ‘meet and greet’ secara santai bersama peminatnya.
Selain itu, penyanyi ini juga bakal tampil dengan sebuah kejutan buat peminat di nusantara untuk menghasilkan sebuah lagu baharu.
Selain lagu Eta Lyubov, Amirchik juga pernah tampil menghasilkan lagu lain seperti Still With You, Love Is, Lifelines dan What If.
Untuk info, Amirchik juga akan terlibat mengadakan persembahan sempena Hoorrey X Fest Raya yang akan diadakan pada 19 hingga 21 April ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Hoorrey X Fest Raya merupakan sebuah festival membeli-belah terbesar raya yang turut menghimpunkan lebih 100 usahawan selebriti popular tanah air.
Antara rakan artis yang terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Car Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz dan ramai lagi.