Penyanyi dan pengarah, Namewee, 42, ditahan pihak polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara pada bulan lalu.

Ditahan miliki dadah

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Datuk Fadil Marsus, memaklumkan bahawa penahanan dibuat oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 4.30 petang pada 22 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan di bilik penginapan suspek menemui sembilan biji pil berwarna biru dipercayai dadah jenis ekstasi dengan jumlah berat kira-kira 5.12 gram.

Semasa di IPD Dang Wangi, ujian saringan awal urin dibuat dan suspek didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.

Suspek kemudian direman dua hari sebelum dituduh di mahkamah dengan dua pertuduhan pada 24 Oktober lalu.

Suspek berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa di bawah Seksyen 39A(1) kerana memiliki dadah, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah.

OKT tidak mengaku bersalah dan diberikan jamin mahkamah sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan,

Sebutan semula kes dijadualkan berlangsung di mahkamah pada 18 Disember ini.

Sumber: Harian Metro