“Cantiknya beg tu Mira, baik kau beli sekarang sebab lepas ni gerenti mahal sebab kos penghantaran dah meningkat”
Korang gemar shopping online? Suka lakukan transaksi pembelian secara atas talian kerana lebih mudah dan pantas? Haa.. Ni kami nak tanya, korang tau tak mulai tahun depan kadar penghantaran barang ke seluruh dunia bakal meningkat?
Sebelum korang kecam syarikat penghantaran barang, jom kita ketahui kenapa semua perkara ni terjadi.
Perubahan kadar kiriman global punca kos shopping online meningkat!
Membeli-belah di laman e-commerce bukanlah perkara yang asing lagi. Kesibukan kerja menyebabkan ramai menjadikan alasan utama untuk membeli-belah secara online. Tambahan pula, cara ini menjanjikan harga yang lebih murah dan tidak perlu bersusah-payah untuk bergerak ke mana-mana.
Tapi, beberapa bulan daripada sekarang semua ini bakal berubah kerana menjelang tahun 2020 kos penghantaran barang dari luar negara akan menjadi lebih mahal. Mungkin lebih mahal daripada barang yang dibeli. Tapi, apakah puncanya?
Kongres Khas UPU & perbincangan sistem kos Kadar Bayaran Terminal.
Haa.. Kalau korang nak tau, perbincangan mengenai kos penghantaran barang telah dibincangkan pada Kongres Khas UPU yang diadakan di Geneva, Switzerland pada bulan lepas. Agenda utama kongres itu adalah untuk membincangkan tentang sistem kos Kadar Bayaran Terminal untuk mel antarabangsa dan bungkusan kecil (bawah 2kg) yang dihantar di 192 negara anggota.
Kongres luar biasa ini diadakan berikutan Amerika Syarikat (A.S), merasakan mereka berada dalam keadaan merugikan kerana perlu menanggung kos Kadar Bayaran Terminal yang lebih tinggi dalam mengendalikan mel dari negara-negara membangun seperti China dan Brazil.
Ditambah dengan “ugutan” mereka untuk menarik diri dari UPU jika hal ini tidak diketengahkan, kongres ini diadakan bagi mengekalkan A.S dalam kesatuan dan kenaikan harga merupakan sebahagian dari perjanjian yang dipersetujui bagi memastikan organisasi global kekal utuh dan sistem kiriman global beroperasi tanpa sebarang halangan.
Kenaikan dan kesannya kepada peniaga online.
Buat masa ini, kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pengguna masih belum diketahui. Tapi, bagi mengurangkan impak yang bakal diterima, kementerian berkaitan dan Pos Malaysia sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak yang terjejas.
Kebanyakan industri dan perniagaan di Malaysia yang melakukan urus niaga perdagangan antarabangsa dijangka akan terjejas, terutama sekali dengan A.S.
Setiap negara anggota UPU juga akan menilai sendiri kesan kos yang bakal mereka tanggung, sementara pengendali-pengendali pos di dunia pula mula beransur-ansur melihat ke arah sistem pasaran terbuka. Dalam era digitalisasi dan perkembangan dalam urus niaga antarabangsa, perkara ini sangat penting buat pengendali pos supaya memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu sistem mereka.
Bagaimana pula dengan penghantaran domestik?
Perubahan yang tidak dijangka ini semestinya akan memberi kesan domino pada sistem kiriman keseluruhan. Sama seperti apabila kenaikan harga minyak turut menyebabkan kenaikan harga nasi lemak, di mana kenaikan harga bukan saja melibatkan sumber utama bahan membuat nasi lemak, tetapi proses lain yang turut terlibat secara tidak langsung.
Pengendali mel domestik seharusnya berusaha untuk memperbaiki sistem mereka dalam menguruskan perubahan ini dan terus kekal berdaya saing supaya dapat memberikan yang terbaik kepada pengguna.