berita

‘Perginya Tak Kembali’ – Sayu Lihat Suami Tenggelam Depan Mata

May 15th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Mayat seorang lelaki yang berusia 50-an dikhuatiri lemas telah ditemui selepas kereta yang dipandu olehnya tergelincir ke dalam Sungai Golok di Kampung Lubok Gong semalam.

Hantar isteri dan anak ke rumah saudara

Kejadian berlaku pada pukul 3.10 petang ketika mangsa yang dikenali sebagai Othman Long sedang memakir keretanya di tepi sungai itu. Walau bagaimanapun, keretanya tergelincir ke dalam Sungai Golok lalu dihanyutkan arus deras dan terbenam di kawasan dasar.

Menurut isterinya, Natrah Mohamad, ketika suaminya menghantar dirinya serta anak-anak ke rumah saudara, dia terdengar bunyi yang kuat dan melihat kereta yang dipandu oleh suaminya itu terjunam.

Baru beberapa minit suami menghantar saya dan anak ke rumah saudara sebelum saya terdengar bunyi yang kuat dan melihat kereta (milik suami) terjunam ke sungai.

Natrah juga memberitahu bahawa sebaik dia melihat kereta suaminya itu hampir tenggelam, dia dan anaknya hanya mampu menjerit meminta pertolongan sebelum beberapa orang  penduduk kampung cuba menyelamatkan dengan memecahkan cermin kereta suaminya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Imran Ismail mengatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 petang dan seramai 14 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

‘Perginya’ tidak kembali

Hampir dua jam Natrah bersama anak-anaknya setia menunggu pihak anggota keselamatan serta penduduk kampung menyelamatkan suaminya itu dan masih mengharap suaminya hidup lagi.

Kami sekeluarga hanya mampu menangis dan berdoa agar berlaku keajaiban walaupun tahu harapan agak tipis. Saya tidak sangka kegembiraan datang ke rumah saudara ini bertukar kepada tragedi ini.

Isterinya percaya bahawa suaminya itu boleh menyelamatkan diri kerana mangsa boleh berenang, namun agak sukar akibat terperangkap di dalam kereta yang tertutup dan dia tidak menyangka ketika suaminya meminta izin untuk pulang rupa-rupanya ‘perginya’ tidak kembali.

Penduduk yang dikenali sebagai Man memberitahu dia baru sahaja berborak dengan mangsa dan mangsa memberitahu bahawa kenderaan miliknya itu mengalami kerosakan pada bahagian pintu dan juga brek. Tidak lama selepas itu dia diberitahu bahawa sahabatnya tergelincir ke dalam sungai.

Kenderaan berkenaan berjaya dinaikkan ke tebing dengan menggunakan jentolak sekitar 5,40 petang dan mangsa telah ditemui meninggal dunia di bahagian tempat duduk pemandu.

Sumber : Harian Metro , Kosmo

SKIP THIS AD ×