Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menghadiri majlis pelancaran buku ‘Autisme Bukan Ciptaan Rosak’ hasil tulisan Nur Arif Jasmin, seorang calon Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: ‘Ibu Bapa Memang Ditakdirkan Menjadi Narator Bagi Anak Autisme’ – Shila Amzah

Artikel Berkaitan: ‘Selamat Hari Autisme Sedunia, Papa & Mama Bangga Dengan Seth Uwais’ – Shila Amzah

Berjaya harungi pelbagai cabaran

Naskhah yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiyah itu mengetengahkan perjalanan hidup Nur Arif sebagai individu yang menghidap autisme, berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang menuntut ilmu, daripada zaman persekolahan sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.

Selain itu, buku tersebut turut menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung PBAKL dan difahamkan menjadi antara karya paling laris sepanjang pesta buku berkenaan berlangsung.

Menurut Zulkifli, dia sudah mengenali Nur Arif sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor UIAM dan berpeluang menyaksikan sendiri semangat juang serta ketekunan yang ditunjukkan olehnya dalam mengejar kecemerlangan akademik.

Katanya lagi, pencapaian Nur Arif membuktikan bahawa setiap individu memiliki keupayaan untuk berjaya sekiranya disertai dengan usaha yang berterusan, doa serta tawakal kepada Allah SWT.

Perjalanan hidup Nur Arif adalah bukti bahawa autisme bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan.

Kisah ketabahan, kesungguhan dan kejayaannya sehingga ke peringkat PhD wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat bahawa setiap insan dicipta Allah SWT dengan keistimewaan dan potensi tersendiri.

Memastikan akses pendidikan bagi golongan khas

Majlis tersebut turut menjadi medan pertemuan semula antara Zulkifli dengan Profesor Ruzita serta beberapa rakan di UIAM yang pernah bekerjasama dalam pelbagai usaha memperkukuhkan kebajikan dan pembangunan mahasiswa orang kurang upaya (OKU).

Pertemuan tersebut turut mengimbau kembali pelbagai pengalaman, cabaran dan kenangan sepanjang perjuangan mereka dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan berkeperluan khas.

Dalam masa sama, Zulkifli menzahirkan ucapan tahniah kepada Nur Arif atas kejayaan menerbitkan buku berkenaan, selain menghargai komitmen Jejak Tarbiyah dan semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan penerbitannya.

Saya berharap karya ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat untuk melihat keupayaan individu autisme dari sudut yang lebih positif serta menghargai kepelbagaian anugerah yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap insan.