
Karier dalam politik sememangnya bukan perkara yang mudah buat seseorang individu. Terbaharu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampil tenang dan penuh yakin walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Menurut Berita Harian, permohonan tersebut sebenarnya melibatkan isu sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman, khususnya dalam kes saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther.
“Saya Tetap Akan Jalankan Tanggungjawab”
Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan bahawa beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan atau kompromi, walau apa pun yang berlaku.
“Saya komited terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokratik,” Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi Facebook rasmi beliau turut menekankan bahawa permohonan yang difailkan itu bukan untuk elak daripada disiasat, tetapi atas kepentingan sistem Perlembagaan negara dan juga untuk melindungi institusi Perdana Menteri daripada gangguan politik atau tindakan bermotifkan strategi tertentu.
Permohonan Ditolak Sebab ‘Spekulatif’
Mahkamah menolak permohonan tersebut selepas mendapati lapan persoalan undang-undang yang dikemukakan itu bersifat spekulatif dan tidak perlu untuk penyelesaian kes berkenaan. Hakim Roz Mawar Rozain juga menyatakan ia tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan.
Untuk pengetahuan, kes ini berpunca daripada saman sivil difailkan oleh Yusoff Rawther pada Julai 2021 berhubung satu insiden didakwa berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Dalam pembelaannya sebelum ini, Anwar mendakwa Yusoff berbohong dan mereka cerita serangan seksual semata-mata untuk mencemarkan kerjaya politiknya.
Bukan Isu Kekebalan Peribadi
Anwar turut menafikan bahawa dia cuba mencari ‘jalan selamat’ dengan memohon imuniti sebagai PM.
“Permohonan ini tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi.”
Beliau juga menegaskan bahawa tindakan itu diambil untuk menjaga integriti jawatan awam tertinggi negara.
Lebih penting, Anwar turut memaklumkan beliau bakal terus komited dan berdiri teguh sebagai Perdana Menteri.
Kes ini secara tidak langsung mengingatkan orang ramai bahawa Perdana Menteri juga tidak kebal daripada undang-undang negara.
Rujukan:
- Berita Harian, (2024, 4 Jun) ‘Saya akan teruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan, kompromi’ – Anwar
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/06/1404615/saya-akan-teruskan-tanggungjawab-sebagai-perdana-menteri-tanpa