Pada usia 37 tahun, Eunice Wong memasuki dunia pertandingan ratu cantik tanpa sebarang pengalaman pageant.

Sebahagian besar kehidupannya sebelum ini bergerak dalam ruang yang sangat berbeza, daripada permotoran, perdagangan, kewangan hinggalah industri Web3 yang banyak didominasi lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Finalis Miss Universe Malaysia Dikecam, Taanusiya Chetty Pesan – ‘Jangan Anggap Kritikan Sebagai Keburukan’

Usia 37 Bukan Terlambat

Namun menerusi Miss Universe Malaysia 2026, Eunice mahu memberi ruang kepada sisi dirinya yang selama ini jarang diterokai.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali kepada sisi saya yang lebih lembut. Kebanyakan perkara yang saya buat sebelum ini lebih maskulin. Ini kali pertama saya masuk ke sesuatu yang lebih feminin,” katanya.

Penyertaan Eunice berlaku agak spontan apabila dia mendapat tahu permohonan Miss Universe Malaysia dibuka hanya sekitar seminggu sebelum sesi uji bakat.

Dia kemudian terbang pulang ke Kuala Lumpur dan turut menyaksikan Miss Universe Thailand bagi memahami sendiri standard serta skala pertandingan tersebut.

Baginya, usia 37 tahun bukan kekurangan. Sebaliknya, pengalaman yang sudah dikumpulkan membuatkan dia merasakan sekarang ialah waktu yang lebih tepat.

“Kalau saya buat 10 tahun lalu, mungkin saya akan bertanya apa yang pageant boleh beri kepada saya.

“Tapi sekarang, persoalannya ialah apa yang saya boleh tawarkan kepada dunia kerana saya sudah mempunyai pengalaman,” katanya.

Eunice juga mengakui pandangannya terhadap dunia pageant berubah selepas menyertainya sendiri. Jika dahulu dia melihat pertandingan sebegitu lebih berkisar tentang kecantikan, kini dia percaya wanita yang berada di pentas tersebut perlu membawa pemikiran, pengalaman dan sumbangan tersendiri.

Pernah Membesar Dengan Rasa Tidak ‘Belong’

Di sebalik kehidupan antarabangsa yang dimilikinya hari ini, zaman persekolahan Eunice bukan pengalaman yang mudah.

Membesar di Johor Bahru, dia mengakui pernah berdepan buli sehingga banyak mengasingkan diri daripada rakan sebaya.

“Ada satu ketika ketika sekolah menengah, hampir setahun saya makan waktu rehat dalam tandas. Sampai sekarang bila bercakap mengenainya, ia masih menyakitkan,” katanya.

Pengalaman itu juga membuatkan Eunice tidak mempunyai ramai sahabat wanita dan lebih banyak berada dalam kelompok lelaki.

Menurutnya, mungkin kerana pengalaman penolakan itu jugalah dia sering mencari tempat lain yang membuatkan dirinya rasa diterima.

Ironinya, Miss Universe Malaysia kini membawanya kembali ke sebuah ruang yang dipenuhi wanita dan memaksanya mengenali semula sisi dirinya yang selama ini kurang diterokai.

Dari Johor Ke Pentas Dunia

Pada usia 18 tahun, Eunice meninggalkan Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Australia.

Dia memperoleh ijazah pertama dalam bidang muzik sebelum beralih jauh daripada dunia seni dengan menyambung pengajian Sarjana dalam teknologi maklumat.

Ketika pandemik COVID-19, Eunice mula mendalami perdagangan sebelum memasuki dunia Web3 dan kripto. Dari situ, dia menghasilkan kandungan pendidikan, terlibat dalam acara berkaitan blockchain dan turut berkongsi ilmu kepada wanita yang mahu memahami bidang tersebut.

Perjalanan kerjayanya kemudian membawa Eunice mengembara ke sekitar 100 negara sebelum akhirnya menjadikan Dubai sebagai salah satu pangkalannya.

Namun semakin jauh dia pergi, semakin kuat rasa terhadap tempat asalnya.

“Akhirnya Kita Akan Kembali Kepada Akar”

Eunice mengakui sewaktu kecil, pernah terlintas dalam fikirannya bahawa mungkin dia lebih sesuai dilahirkan di negara lain kerana sentiasa rasa seperti tidak mempunyai tempat di Malaysia.

Namun selepas bertemu manusia daripada pelbagai budaya dan negara, pandangan itu berubah.

“Selepas bertemu beribu-ribu orang daripada pelbagai budaya, saya sedar tiada apa yang boleh mengubah perasaan saya terhadap negara sendiri.

“Tak kira sejauh mana kita pergi, akhirnya kita akan kembali kepada akar. Kita akan pulang,” katanya.

Eunice masih mempunyai rumah keluarga di Johor dan kerap pulang bertemu keluarganya.

Kini kepulangannya membawa makna berbeza.

Dia kembali bukan sekadar sebagai wanita yang pernah meninggalkan Malaysia pada usia 18 tahun, tetapi seseorang yang sudah membawa bersamanya pengalaman daripada pelbagai sisi kehidupan.

Kini Ada Sesuatu Untuk Diberikan

Bagi Eunice, Miss Universe Malaysia bukan sekadar tentang mahkota. Ia menjadi platform untuk menunjukkan bahawa pengalaman hidup, kegagalan, penolakan dan kejayaan juga boleh menjadi sebahagian daripada kekuatan seseorang wanita.

“Saya seorang wanita antarabangsa tetapi akar saya tetap Malaysia. Saya membesar di sini sehingga umur 18 tahun.

“Saya mempunyai pengalaman dengan pelbagai negara dan budaya. Saya rasa itu sesuatu yang boleh saya gunakan untuk berhubung dan menjadi jambatan antara satu sama lain,” katanya.

Pada usia 37 tahun, Eunice Wong mungkin memulakan perjalanan pageant lebih lewat daripada kebiasaan.

Tetapi selepas bertahun-tahun mencari ruangnya di seluruh dunia, mungkin sekarang bukan lagi tentang mencari tempat untuk dirinya.

Sebaliknya, tentang kembali ke tanah kelahiran dengan sesuatu yang sudah bersedia untuk dikongsi.