Tahun ini, pelakon, Reen Rahim, 34, bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri pertamanya sebagai seorang isteri selepas bernikah dengan suami, Ahmad Nur Hazim, 28, pada 24 Disember tahun lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kenduri Sambut Menantu Serba Sederhana Dipuji, Netizen Terhibur Tengok Muka ‘Ketat’ Adik Ipar Reen Rahim
Tak sabar alami perasaan beraya bersama suami
Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim mengakui berasa teruja untuk menyambut perayaan tahun ini bersama suami tercinta.
Kadang-kadang reaksi saya lambat, sedar-sedar dah nak raya. Nak kata teruja yang teramat sangat tu tidaklah tetapi, saya tak sabar untuk lalui pengalaman baru ini. Saya rasa bersyukur sangat, Alhamdulillah sebab tak semua orang dapat rezeki keluarga mentua yang boleh terima kita seadanya.
Tambahnya, perasaan tidak sabar itu juga dipengaruhi oleh penerimaan yang sangat baik oleh keluarga suaminya.
Bila bersama keluarga mentua, saya tak bawa ‘perangai’ Reen Rahim tu, tapi saya membawa ‘perangai’ sebagai Noreen Ashikin.
Keluarga mentua memang terima saya yang bangun lambat, macam mana saya dengan ibu saya, macam itu juga saya bawa diri saya di dalam keluarga mentua. Alhamdulillah, keluarga mentua boleh terima saya. Jadi, saya tak sabar nak lalui perayaan di masa yang akan datang.
Reen mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui OHBULAN! pada malam gala filem Sumpahan Malam Raya arahan Prof. Madya. Dr. Razak Mohaideen yang turut dibintanginya di GSC NU Sentral pada 12 April yang lalu.
Untuk info, selain Reen, filem bertemakan seram komedi raya ini turut dibintangi Atu Zero, Nora Danish, Danial Zaini dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk tonton filem Sumpahan Malam Raya di pawagam berdekatan anda bermula 22 April ini.