Pelakon, Irfan Zaini mendedahkan industri perfileman India menawarkan bayaran yang tinggi kepada pelakon setimpal dengan peruntukan besar yang diperuntukkan bagi menghasilkan sesebuah naskhah.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Sanggup Buka Butang Baju Sendiri, Daripada Buka Tudung Dalam Babak Itu’ – Irfan Zaini

Artikel Berkaitan: ‘Mak Tak Berapa Suka Saya Berlakon, Tak Kisah Watak Baik Atau Jahat’ – Irfan Zaini

Pembikinan filem India

Pernah beberapa kali membintangi karya di India, Irfan berkata, kos pembikinan filem di negara itu boleh mencecah ratusan juta ringgit sekali gus membolehkan produksi menawarkan imbuhan yang lumayan kepada barisan pelakon.

Seperti yang saya katakan, peruntukan menghasilkan filem di India jauh lebih besar, lebih kurang RM400 juta jika dibandingkan di Malaysia.

Jadi, sudah tentu bayaran pelakon di sana juga lebih tinggi kerana kita tahu industri mereka mempunyai bajet yang sangat besar.

Irfan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran treler filem Terbang, yang berlangsung di Carfe, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Irfan yang pernah membintangi filem Jana Nayagan bersama bintang terkenal India, Vijay mengakui bukan mudah untuk menembusi industri perfileman negara berkenaan memandangkan persaingan yang sangat sengit.

Sebagai pelakon yang masih baharu seperti saya, memang sangat sukar untuk menembusi pasaran filem India. Untuk dapat satu babak pun bukan mudah.

Sebab itu saya sangat bersyukur apabila diberi peluang membawakan watak dalam filem tersebut. Bagi saya, itu bukan satu pencapaian yang kecil.

Berkongsi pengalaman berkongsi layar bersama Vijay, Irfan berkata peluang berlakon bersama aktor itu banyak mengajarnya tentang dunia lakonan, selain menjadi momen yang tidak akan dilupakan dalam hidup.

Pengalaman berlakon di India memang banyak mengajar saya, lebih-lebih lagi apabila dapat berada dalam set penggambaran yang sangat besar.

Namun, saya juga rasa set penggambaran filem Terbang tidak kurang hebatnya. Pada saya, ia setanding dengan produksi antarabangsa walaupun menggunakan bajet yang jauh lebih kecil.

Ini membuktikan filem Malaysia juga mampu bersaing dan mencapai standard antarabangsa meskipun dengan peruntukan yang lebih rendah.