berita

Pesakit Kanser Yang Ada 8 Kriteria Ini Tidak Disyorkan Lakukan Haji Atau Umrah

March 26th, 2019 | by Ai
Kesihatan & Hidup Aktif

kanser

Jika kita lihat sekarang ini ramai yang mengambil peluang untuk menunaikan ibadah Haji mahupun Umrah. Ini kerana, bagi mereka dengan usaha itulah dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT. Tapi,  sangatlah penting untuk anda peka terhadap tahap kesihatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menunaikan ibadah fardu ini.

Bagi pesakit yang menghidap kanser, terdapat beberapa jenis kriteria yang boleh menyebabkan anda tidak layak untuk menunaikan Haji atau Umrah. Ikuti perkongsian oleh Dr Rushdan Noor, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi tentang mengenai kriteria-kriteria tersebut

Tahap kesihatan fizikal dan mental penting

kanser

Haji atau Umrah difardhukan kepada yang mampu. Maksud mampu merangkumi kemampuan dari sudut kewangana atau harta benda dan kesihatan. Kesihatan pula merangkumi kesihatan fizikal dan mental. Maka dalam menentukan kelayakan mengerjakan haji dari sudut kesihatan, seperti pendapat Mufti Wilayah, pandangan doktor adalah diperlukan.

Doktor yang paling layak untuk menilai tahap kesihatan pesakit kanser adalah pakar kanser. Pakar akan menilai tahap kesihatan berdasarkan ‘case to case basis’. Ia tidak semestinya bergantung kepada peringkat kanser sebaliknya berdasarkan kepada beberapa kriteria. Saya akan kongsi tentang apakah kriteria-kriteria yang saya gunakan.

Antara kriterianya..

kanser

Umumnya pesakit kanser yang mempunyai kriteria-kriteria berikut tidak dianggap layak ataupun tidak disyorkan untuk melakukan ibadah Haji atau Umrah daripada aspek kesihatan:

1. Pesakit yang sedang dirawat.

2. Pesakit yang sedang melalui fasa pemulihan daripada rawatan kanser, umumnya selama 6 bulan selepas tamat rawatan.

3. Pesakit yang baru disahkan menghidap kanser samada untuk pertama kali ataupun kanser yang berulang tetapi belum dirawat kerana melewatkan rawatan akan menurunkan kadar kesembuhan.

4. Pesakit yang sedang menerima rawatan paliatif.

5. Pesakit yang sistem pertahanannya rendah selain daripada akibat rawatan kanser, contohnya kekurangan sel darah putih, kurang sel darah merah, mengambil ubat steroid dan tahap nutrisi yang rendah.

6. Pesakit kanser yang mengalami kegagalan buah pinggang, kegagalan hati atau menghidap penyakit kronik lain yang tidak terkawal.

7. Pesakit-pesakit  yang mengalami komplikasi samada daripada rawatan ataupun penyakit kanser sehingga menyebabkan mereka sukar bergerak (contoh: kanser yang merebak ke saraf tunjang), sukar bernafas dan lain-lain gejala serius.

8. ‘Performance status‘  yang rendah pada tahap 2, 3 dan 4 (ECOG performance status).

Kesimpulannya, pesakit kanser perlu mendapatkan nasihat pakar kanser untuk menilai daripada aspek kesihatan fizikal jika mereka berhajat untuk mengerjakan Haji dan Umrah.

Sumber: Dr Rushdan Noor

SKIP THIS AD ×