Pelakon, Farid Kamil yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pagi tadi menjelaskan bahawa hadiah pakej umrah yang dihadiahi oleh isteri, Diana Danielle kepadanya kini bertukar menjadi hutang.
Hadiah bertukar jadi hutang
Menjelaskan mengenai situasi itu, Farid berkata dia berusaha menunaikan permintaan Diana sepertimana yang diinginkan oleh isterinya itu.
Apabila semuanya sudah jadi terbalik (tuntutan cerai, hadiah itu sudah bertukar menjadi hutang. Saya mengambil apa yang diluahkannya di Instagram Story tempoh hari dan saya anggap, ini adalah apa yang dia inginkan. Alhamdulillah, saya dan pasukan dapat tunaikan permintaan Diana itu.
Ditanya mengenai rentetan isu pakej umrah, Farid memberitahu memandangkan dia tidak berpeluang ke luar negara pada tahun ini, oleh itu dia mahu menjadikan Makkah sebagai destinasi pertamanya. Malah, dia menyimpan impian untuk membawa Diana menunaikan umrah. Namun ketika itu, dia berdepan dengan masalah kewangan.
Sebenarnya, dalam tahun ini, kali pertama saya dapat keluar negara dan saya memilih Makkah sebagai destinasi pertama saya. Saya ingin bawa Diana untuk menunaikan umrah.Tetapi, kebetulan, pada ketika itu, slot yang ada untuk ke Mekah adalah pada 23 Februari.
Keinginan saya untuk membawa Diana ke Makkah itu memang sangat tinggi. Namun, ada sedikit kekangan buat saya. Kekangannya adalah, saya hanya boleh selesaikan bayaran untuk umrah itu, pada penghujung bulan.
Jadi, Diana beritahu saya bahawa, tak mengapa sebab ini kali pertama kami dapat keluar negara bersama. Jadi, dia hadiahkan saya perjalanan (pakej) umrah itu.
Hari ini, Farid menawarkan empat tawaran kepada Diana untuk menyelamatkan keluarga dan rumah tangganya, termasuklah, menawarkan bayaran balik tiket umrah bernilai RM44,000. Menawarkan sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas bernilai RM10,700 dan wang pendahuluan nafkah dari Mac hingga Jun 2023 bernilai RM40,000.
Terdahulu, Diana memuat naik hantaran di Instagram Story, mengenai Farid yang tidak membayar semula beberapa kos ketika menunaikan umrah selepas ditanggung oleh Diana.
Diana bagaimanapun tidak hadir ke prosiding sulh yang berlangsung hari ini. Prosiding sulh kedua dijadualkan akan berlangsung pada 25 Mei 2023.