Peranan Malaysia dalam usaha diplomasi serantau kembali mendapat perhatian dunia. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menerima pengiktirafan antarabangsa atas usaha beliau membantu meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.

Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Dato’ Seri Anwar memainkan peranan dalam membawa kedua-dua negara jiran ke meja rundingan, selaras dengan semangat diplomasi dan prinsip penyelesaian secara damai yang sering dibawa Malaysia di peringkat serantau.

Dunia beri perhatian kepada pendekatan diplomatik Malaysia

Usaha pendamaian ini turut mendapat respon positif dari beberapa negara luar, antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda dan Kesatuan Eropah. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Brunei juga memberikan sokongan terhadap usaha yang dijalankan.

Kenyataan dan reaksi dari negara-negara ini dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap pendekatan Malaysia dalam menangani isu serantau secara aman dan berhemah.

Cerminan dasar luar negara yang aktif dan terbuka

Pemerhati berpendapat, pengiktirafan ini menggambarkan pendekatan dasar luar negara Malaysia yang semakin aktif dalam memainkan peranan di pentas antarabangsa, terutamanya dalam isu-isu serantau.

Anwar Ibrahim Club (AIC), dalam kenyataannya, menyifatkan perkembangan ini sebagai satu manifestasi kepada dasar luar yang menekankan keadilan, keamanan dan nilai kemanusiaan. Mereka turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan terhadap usaha mengekalkan kestabilan dan suara Malaysia di peringkat global.