Baru-baru ini, tular satu video beberapa pelajar mendakwa menemui beberapa mayat manusia di dalam sebuah bekas besar berisi air di sebuah universiti di Indonesia.
Jumpa 5 mayat di universiti
Susulan daripada penularan video tersebut, pihak polis mula menjalankan siasatan lanjut termasuk memeriksa kawasan penemuan mayat. Menurut sumber, pada awalnya pihak univerisiti tidak membenarkan pemeriksaan dilakukan kerana mereka mendakwa terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak polis terlebih dahulu.
Sementara itu, wakil pegawai undang-undang Universiti Prima Indonesia (Unpri) mendakwa langsung tidak tahu berkaitan penemuan mayat di kampus terbabit. Namun akhirnya, pihak polis berjaya memasuki kampus tersebut dan penggeledahan dilakukan bermula dari tingkat 9 hingga 16.
Akan tetapi, pihak polis mula mencurigai satu ruangan di tingkat 15 yang terdapat bekas yang ditutup dan diletakkan di satu sudut. Selepas dibuka, ternyata terdapat lima mayat yang sudah reput dalam keadaan bertindan.
Pihak universiti beri penjelasan
Tidak lama selepas itu, sekumpulan pelajar yang menyebarkan video penemuan mayat mendakwa bahawa itu hanyalah anak patung dan bukannya mayat manusia seperti yang didakwa sebelum ini.
Sementara itu, Wakil Dekan Fakulti Kedoktoran Unpri menjelaskan bahawa kelima-lima mayat itu adalah kadaver atau mayat yang digunakan pelajar perubatan Unpri untuk kajian anatomi.
Pada waktu malam, (mereka) berkeras mahu melakukan pencarian di kampus Unpri. Untuk makluman, pada waktu malam tiada pegawai yang boleh mengiringi mereka, tetapi mereka memaksa masuk dan pengawal keselamatan (terpaksa) memberi kebenaran untuk mencari dan tiada apa yang ditemui ketika itu.
Sumber: Tribunnews, CNN Indonesia