Berikutan penyebaran video Zamani yang dikatakan dipaksa menyanyi ketika sedang digari, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam merakamkan dan menyebarkan video tersebut.
Polis Jamin Siasatan Telus
Memetik laporan Harian Metro, siasatan bagi mengesan pegawai dan anggota lain yang turut terbabit menyebarkan video berkenaan turut dilakukan.
Selain itu, siasatan dalaman dari segi salah laku dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor.
Pihak polis memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus tanpa melindungi sesiapa dan tindakan tatatertib akan diambil terhadap anggota polis yang terbabit merakam dan menyebarkan video itu.
Tindakan Merakam Langgar Budaya & Tata Susila Masyarakat – Rais Yatim
Memetik laporan Astro Awani, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyifatkan tindakan merakam video itu melanggar budaya dan tata susila bermasyarakat kerana tidak menghormati suspek.
Sebenarnya perbuatan seperti itu tidak harus berlaku sebab seseorang yang disyaki melakukan salah laku seperti mengedar dadah tidak boleh disuruh membuat aksi yang mungkin dianggap jenaka kepada mereka.
Itu jelas di dalam peraturan khidmat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau pengawas penjara. Jadi seandainya sudah viral di media sosial, ia sebenarnya menjatuhkan imej penguasa sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sepatutnya perkara sebegini tidak patut berlaku. Apa- apa pun syabas kepada pihak polis kerana melakukan tugas dengan pantas!