Sekadar gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berlaku kes penculikan enam kanak-kanak yang didakwa dilarikan menaiki lori ayam serta cuba diseludup ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ seperti mesej yang tular di media sosial.
Mesej 2017 yang disebarkan semula
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP A. Skandaguru, mesej tersebut adalah mesej pada tahun 2017 yang disebarkan semula di beberapa platform media sosial.
Mesej berkenaan mendakwa kanak-kanak terbabit diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.
Mesej tersebut juga mendakwa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak. PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.
Tambahnya lagi, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebabkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya. Individu yang dikesan menyebabkan sebarang berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Sumber: Bernama