
Paparan kemewahan melampau oleh segelintir peniaga dalam talian dan pengasas produk kosmetik di media sosial kini menjadi perhatian pihak polis.
Artikel Berkaitan: Sarang Proses Air Ketum Di Kelantan Tumpas
Artikel Berkaitan: ‘Adek Saye Abe Sore’ Lonjak Nama Den Manjo, Akui Tak Semua Lagu Dialek Kelantan Boleh FYP
‘Mereka kini berada dalam radar kami’
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sedang menjalankan pemantauan terhadap individu terbabit bagi melihat sama ada terdapat sebarang kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Menurutnya, walaupun perniagaan yang dijalankan mereka setakat ini tidak menunjukkan unsur penipuan, tindakan mempamerkan kekayaan secara terbuka termasuk wang tunai dalam jumlah besar menerusi siaran langsung menimbulkan persoalan yang perlu diteliti.
Mereka kini berada dalam radar kami. Kita pantau dari segi pengubahan wang haram. Kalau ada kesalahan, kita akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),.
Ujar Mohd Yusoff lagi, mana-mana pihak yang dipanggil untuk siasatan perlu bersedia memberikan penjelasan berhubung sumber kewangan mereka dengan mengemukakan dokumen berkaitan seperti rekod transaksi dan bukti pembayaran.
Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana tawaran yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, khususnya berkaitan pelaburan.
Masyarakat juga disaran supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu tawaran, berhati-hati dengan panggilan daripada nombor tidak dikenali serta menggunakan saluran jual beli yang dipercayai bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai. Pegang pepatah orang tua-tua, ‘Bukan senang nak jadi senang’, supaya kita tidak mudah ditipu. Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer.
Sumber: Harian Metro