Dalam era media sosial yang sering menjadi ruang untuk mempamerkan gaya hidup, kejayaan dan pemilikan barangan mewah, definisi ‘kemewahan’ kadangkala dilihat hanya daripada sudut material.

Namun bagi pelakon Aiman Hakim Ridza, nilai sebenar sebuah kemewahan tidak seharusnya diukur berdasarkan harga rumah, kereta atau barangan yang dimiliki seseorang.

Sebaliknya, Aiman percaya kebahagiaan dan ketenangan dalam menjalani kehidupan adalah antara nikmat paling besar yang boleh dimiliki.

Artikel Berkaitan: POV XTRA: Anggap Populariti Sangat Mahal, Aiman Hakim Pilih Hidup Sederhana Daripada Jadi ‘Terlalu Terkenal’ – ‘Buat Apa Ada Duit 1 Billion Tapi…’

Artikel Berkaitan: #TriviaXTRA: Belajar Membaca Sendiri Sejak Kecil, Aiman Hakim Ridza Rupanya Pernah Nak Jadi Ustaz

Kebahagiaan & Ketenangan Adalah Kemewahaan Sebenar

POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.

Menerusi segmen POV XTRA kali ini, Aiman berkongsi pandangannya mengenai budaya menunjuk kemewahan, khususnya di media sosial, selain mengingatkan tentang pentingnya menjalani kehidupan secara bersederhana.

Dalam kehidupan ini kena sentiasa bersederhana. Kemewahan sebenar adalah kebahagiaan kita dan ketenangan dalam hidup.

Bila cakap pasal kemewahan, orang suka kaitkan dengan material, tetapi kemewahan itu sendiri maknanya lebih besar daripada barangan.

Menurut Aiman, apa yang dipaparkan di media sosial juga boleh menyebabkan seseorang sentiasa mengejar sesuatu yang lebih besar sehingga akhirnya sukar merasakan kepuasan.

Banyak orang di media sosial, apa yang saya lihat, suka menonjolkan benda-benda mahal dan perkara itu tak akan cukup.

Ada rumah, kereta sekalipun, kita tak akan puas dan tak akan cukup.

Jadi apa benda yang mencukupkan sebenarnya adalah kebahagiaan diri sendiri. Itu bagi sayalah.

Dalam masa sama, Aiman berpandangan seseorang juga perlu lebih peka terhadap perasaan golongan yang mungkin tidak mempunyai kemampuan sama.

Baginya, berkongsi kejayaan tidak semestinya sesuatu yang salah, namun setiap individu perlu mempunyai kesedaran tidak semua orang berada dalam kedudukan kehidupan yang sama.

Dalam masa yang sama kita pun kena menjaga hati orang lain yang kurang kemampuan.

Mungkin bila kita menunjuk, setengah daripada mereka akan bahagia tengok kejayaan kita, tetapi sentiasa beringat masih ada ramai lagi orang yang kurang bernasib baik.

Bukan tak nak beri inspirasi, tetapi kena sentiasa beringat.

Pandangan Aiman itu secara tidak langsung mengingatkan kejayaan tidak semestinya perlu diterjemahkan menerusi apa yang boleh dilihat atau dimiliki.

Pada akhirnya, rasa cukup, kebahagiaan serta ketenangan diri mungkin menjadi bentuk ‘kemewahan’ yang jauh lebih bernilai daripada apa sahaja yang mampu dipamerkan di mata orang lain.