
Kejohanan PPA Asia 1000 Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026 bakal menggegarkan ibu kota bukan sekadar dengan aksi sengit di gelanggang malah dengan pengalaman festival berskala penuh yang akan berlangsung di The Hood, Kuala Lumpur pada 9 hingga 13 September 2026.
Artikel Berkaitan: Pemain Pickleball Terbaik Dunia Bakal Meriahkan Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026
Pickleball

Selain debaran di Championship Court, tumpuan utama sepanjang minggu tersebut adalah Pickletown, sebuah perkampungan peminat (fan village) yang direka khas untuk penonton, keluarga, serta pemain dari kategori Pro dan Amatur (Perseorangan, Beregu, dan Beregu Campuran).
Di Pickletown, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai zon menarik yang menggabungkan elemen sukan dan gaya hidup.
Antaranya, hab kelengkapan pickleball iaitu zon runcit premium yang menawarkan peralatan sukan terkini, termasuk raket (paddles) berprestasi tinggi, beg, dan aksesori daripada jenama terkemuka seperti Paddletek, Facolos, Franklin, dan Joola, serta barangan rasmi jelajah PPA Asia.
Tidak hanya itu, pada hari tersebut turut disediakan pameran fesyen jenama FILA. Sebagai rakan pakaian rasmi, FILA akan mempamerkan koleksi terbaharu mereka yang menggabungkan gaya ‘court-to-street’ untuk peminat fesyen atletik.
Turut dimeriahkan dengan pelbagai jenis makanan, yang meraikan kepelbagaian kulinari tempatan dan antarabangsa. Zon ini juga akan dimeriahkan dengan permainan interaktif dan pelbagai aktiviti gaya hidup sepanjang hari.
Peminat sukan pickleball berpeluang merasai sendiri aura kehebatan pemain melalui pengalaman courtside yang merupakan tempat duduk VIP premium di aras gelanggang membolehkan peminat berada hanya beberapa inci dari garisan belakang, sekali gus merasai intensiti, kepantasan, dan bunyi setiap rali di Championship Court.
Dalam pada itu, kejohanan tersebut turut mengadakan cabutan bertuah dan peraduan untuk para peminat di mana penonton di astaka (grandstand) berpeluang memenangi raket berprestasi tinggi setiap hari melalui peraduan interaktif yang dianjurkan oleh rakan penaja.
Lebih menarik sesi ramah mesra bersama atlet pro di mana orang ramai berpeluang untuk bertemu, bergambar, dan mendapatkan autograf daripada bintang profesional PPA Tour Asia seperti Gabriel Tardio dan Alix Truong.
Setiap pas masuk memberikan akses penuh ke Championship Court, Grandstand Court, dan seluruh kawasan Pickletown. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah sukan ini.
Tiket kini boleh didapati secara dalam talian. Bagi peminat yang tidak dapat hadir ke lokasi, anda boleh menyaksikan debaran kejohanan ini secara langsung menerusi aplikasi Tonton.








