
Kredit: Facebook Program Anak Kita
Setiap anak adalah permata negara. Namun, tidak semua melalui jalan yang sama rata. Ada yang perlu bergelut dengan kekangan kewangan, kurang sokongan atau tekanan emosi, lebih-lebih lagi apabila mereka menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Melihat realiti ini, Program Anak Kita (PAK) diwujudkan sebagai satu inisiatif menyeluruh di bawah agenda reformasi pendidikan negara. Ia bukan sahaja menyasarkan peningkatan akademik, tetapi juga pembangunan emosi dan sahsiah anak-anak Malaysia.
Komitmen Kerajaan MADANI: RM100 juta untuk Pendidikan Holistik
Dilancarkan pada September tahun lalu, Program Anak Kita merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MoF), yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah.
Program ini dilaksanakan melalui tiga komponen utama iaitu Program 3M (membaca, menulis, mengira) untuk murid sekolah rendah, Program SPM untuk pelajar menengah atas, dan Program murid cicir yang memanfaatkan 83,371 murid di lebih 2,500 sekolah seluruh negara.
Menurut Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, “Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program ini, yang bertujuan menangani isu keciciran pendidikan melalui pelbagai bentuk intervensi termasuk pemulihan pembelajaran dan pecutan akademik menjelang peperiksaan utama SPM.”
Pecutan SPM: Menukar potensi menjadi kejayaan
Komponen SPM dalam PAK memberi fokus khusus kepada pelajar yang berdepan cabaran akademik terutama dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Pelajar dibimbing melalui kelas intensif, modul pecutan, dan sesi motivasi yang membantu mereka menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
Keberkesanan program ini terbukti secara menyeluruh dengan 89% daripada 10,119 pelajar di seluruh negara yang menyertai program ini berjaya lulus SPM 2024 serta di Pulau Pinang, program ini membantu 93% daripada 460 calon SPM mencapai kelulusan. (Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kewangan)
“Program ini menangani keciciran dan tingkatkan lulus SPM secara menyeluruh”
Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Ia hasil kerjasama erat antara guru, pelajar dan komuniti. Menurut guru-guru yang terlibat, impak PAK boleh dirasai bukan sahaja pada keputusan peperiksaan, tetapi juga perubahan sikap dan semangat dalam diri pelajar.
Menurut Puan Yusnoridayu Mohd Yusoff, guru di salah sebuah sekolah menengah yang terlibat, pelaksanaan program ini sangat signifikan dalam menangani isu keciciran pelajar di pelbagai peringkat:
“Bagi saya sebagai seorang guru, dengan adanya program seperti ini, masalah keciciran dapat ditangani dalam skala yang lebih besar dan meluas sesuai dengan pendekatan yg digunakan iaitu whole-of-nation approach.
Oleh itu, masalah keciciran bukan sekadar dapat ditangani di kawasan bandar sahaja, malah di luar bandar. Anak-anak pelajar ini perlu lulus SPM supaya mereka dapat diiktiraf sebagai lepasan SPM. Jadi, program ini dapat meningkatkan kadar pencapaian lulus dengan lebih tinggi,” tambahnya lagi.
Bukan sekadar kelas, ia program yang menyentuh jiwa
Apa yang membezakan Program Anak Kita ialah cara pendekatannya yang menyeluruh dan prihatin terhadap realiti hidup pelajar. Guru yang terlibat bukan hanya datang untuk mengajar, tapi hadir sebagai pembimbing, pendengar, dan kadang-kadang, tempat bergantung buat pelajar yang perlukan dorongan.
Sesi motivasi dan sokongan psikososial memberikan pelajar ruang selamat untuk membina semula keyakinan dan hala tuju hidup, iaitu sesuatu yang tidak boleh diperoleh hanya dari buku teks.
Kesimpulannya, Program Anak Kita adalah simbol harapan dan bukti bahawa dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, guru, ibu bapa dan komuniti, kita mampu mengubah masa depan anak-anak Malaysia.
Ia bukan hanya tentang lulus peperiksaan, tetapi tentang membina masa depan yang lebih cerah untuk semua.