Pihak polis sedang giat mengesan pekerja-pekerja dipercayai menjalankan pengubahsuaian rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang bagi membantu siasatan.
Proses ubah suai terhenti
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, setakat ini seramai enam individu yang diambil keterangan terdiri daripada ahli keluarga Zalina.
Enam ahli keluarga diambil keterangan selepas laporan polis dibuat bagi membantu siasatan. Pihak kami masih menjalankan siasatan dan mengesan pekerja terbabit.
Sebelum ini, keadaan rumah Zalina kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan manakala pagar rumahnya kelihatan belum siap dibina. Pemilik pusat tahfiz yang berjiran dengan rumah Zalina, Mohammad Bokhari Shariff, mendakwa kerja pengubahsuaian terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya.
Saya lihat rumah itu sedang melalui proses ubah suai seakan-akan untuk dijadikan pejabat tetapi proses itu terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya tahun lalu. Saya mengetahui mengenai kehilangannya selepas polis datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat.
Ujar Bokhari lagi, setiap malam dia dan jiran lain dapat melihat lampu di rumah Zalina terpasang seperti biasa meskipun tiada penghuni kerana dipercayai sudah dibuat tetapan (setting automatic). Terbaru, kali terakhir telefon bimbit Zalina dikesan aktif adalah pada 20 November tahun lalu, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan.
Sumber: Harian Metro