Usaha meningkatkan jumlah rakyat Malaysia yang menjalani saringan kesihatan terus diperkukuh menerusi pelbagai kerjasama strategik bagi memperluas capaian program PeKa Sihat.

Program yang dahulunya dikenali sebagai PeKa B40 itu merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditadbir oleh ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth).

Setakat September 2026, seramai 2.1 juta rakyat Malaysia sudah menjalani saringan kesihatan menerusi program berkenaan.

Daripada jumlah individu yang menjalani saringan sejak 2019, sebanyak 43.9 peratus didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) atau masalah kesihatan yang sebelum ini tidak dikesan.

Keperluan memperluas saringan turut didorong oleh statistik kesihatan negara apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati kira-kira 15.6 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, 29.2 peratus mempunyai tekanan darah tinggi dan 33.3 peratus mengalami masalah kolesterol tinggi.

Malah, kira-kira dua daripada lima orang dewasa yang menghidap diabetes serta seorang daripada dua individu dengan masalah kolesterol tinggi tidak mengetahui keadaan kesihatan mereka sebelum tinjauan berkenaan dijalankan.

Bagaimanapun, kira-kira lima juta rakyat Malaysia yang layak masih belum menjalani saringan kesihatan PeKa Sihat, sekali gus menjadikan usaha mendekati golongan berkenaan sebagai keutamaan ProtectHealth.

Bagi mencapai matlamat itu, ProtectHealth melaksanakan dua bentuk kerjasama iaitu pendekatan secara langsung bersama agensi yang mempunyai akses kepada komuniti tertentu serta kerjasama promosi bagi meningkatkan kesedaran dan memudahkan orang ramai mendapatkan saringan.

Menerusi pendekatan di lapangan, ProtectHealth bekerjasama dengan agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Zakat Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Kerjasama itu membantu ProtectHealth mendekati kumpulan masyarakat tertentu, khususnya penduduk di kawasan terpencil yang mungkin berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan saringan kesihatan.

Dalam pada itu, pendekatan promosi turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai PeKa Sihat serta membawa perkhidmatan saringan lebih dekat kepada masyarakat.

Antara rakan kerjasama dalam kategori itu ialah Mydin dan KK Mart yang sudah bekerjasama dengan ProtectHealth sejak 2019, termasuk menyediakan premis masing-masing sebagai lokasi penganjuran aktiviti saringan kesihatan.

Setiap kerjasama yang melibatkan perkhidmatan pengamal perubatan am (GP) hanya dilaksanakan bersama klinik yang berdaftar mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Lebih 5,900 GP swasta menjadi tulang belakang program PeKa Sihat dengan menyediakan perkhidmatan saringan di seluruh negara sejak 2019.

Sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka, ProtectHealth turut menaikkan kadar bayaran konsultasi saringan PeKa Sihat kepada semua GP yang mengambil bahagian dan kekal terbuka untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan yang layak, termasuk GP persendirian dan klinik kendalian individu.

Antara rakan kerjasama terbaharu ProtectHealth ialah Qualitas Medical Group menerusi inisiatif QVAXB40 yang menawarkan sehingga 100,000 dos vaksin influenza percuma kepada penerima yang layak dan menjalani saringan di klinik Qualitas terpilih.

Selain itu, kerjasama dengan Alpro Health yang dimeterai pada 29 Oktober lalu membolehkan sehingga 500,000 penerima yang layak dan menjalani saringan di klinik Alpro terpilih menerima CarePass PeKa Edition secara percuma.

Pas berkenaan yang dinilai bernilai lebih RM599 oleh Alpro sah digunakan selama 12 bulan bermula tarikh pengaktifan dan ditawarkan secara siapa cepat dia dapat, selagi stok masih ada.

Antara manfaatnya termasuk suntikan vaksin influenza, saringan mata berserta pemeriksaan oleh optometris, ujian pendengaran dan konsultasi bersama audiologis, sesi terapi selama 45 minit bagi masalah leher dan belakang bersama ahli fisioterapi serta perlindungan kemalangan diri sehingga RM50,000.

Bagi mendapatkan saringan PeKa Sihat, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak serta pasangan berdaftar berusia 40 tahun ke atas boleh menyemak kelayakan menerusi laman web kelayakan.pekab40.com.my.

Penerima yang layak hanya perlu membawa MyKad ketika hadir untuk menjalani saringan kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai program PeKa Sihat boleh diperoleh menerusi laman web protecthealth.com.my/pekab40 atau menghubungi talian 03-8687 2525.