Bagi menghormati mandat rakyat yang jelas menolak parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira menyeru agar kerajaan baru segera ditubuhkan dengan mengekalkan Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang.
Hormat mandat rakyat
Selepas dua hari PRU15 melabuhkan tirai, tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan. Kita telah mendengar suara rakyat di kotak undi. Jelas dalam PRU15 ini, majoriti rakyat tidak mahu BN sebagai kerajaan. Demi menghormati mandat rakyat, adalah lebih baik bagi BN kekal sebagai pembangkang.
Menurut Dira, menjadi pembangkang juga adalah satu tugas yang baik. Ia adalah tanggungjawab yang perlu digalas untuk melakukan semak dan imbang. Tambah Dira, BN tidak wajar dibebankan untuk memilih kerajaan mana yang perlu dibentuk termasuk memutuskan ahli dewan rakyat mana yang perlu menjadi calon Perdana Menteri ke-10.
Dua blok terbesar rakyat telah memilih PN dan PH. Justeru, menjadi tanggungjawab mereka untuk memutuskan bentuk kepimpinan negara bagi lima tahun seterusnya.