berita

PRU15: Ini 6 Calon Ahli Parlimen Yang Perlu Diberi Perhatian Menjelang Pilihan Raya

November 5th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Pertembungan calon berprofil tinggi di beberapa kawasan bakal menghangatkan lagi suasana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan. Terdapat beberapa kawasan yang menjadi kerusi panas yang semestinya meningkatkan ‘suhu politik’ sepanjang tempoh kempen bermula selepas penamaan calon berlangsung pada hari ini.

Berdasarkan beberapa faktor, berikut merupakan 6 calon ahli parlimen yang perlu diambil perhatian menjelang PRU15.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pakatan Harapan mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun pada 20 Oktober lalu. Pengumuman tersebut secara tidak langsung bakal menyaksikan pertembungan 4 penjuru di antara Anwar dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon PEJUANG, Abdul Rahim Tahir.

Tidak gentar dengan pengumuman tersebut, Ahmad Faizal sempat mengucapkan selamat datang kepada Anwar namun mengingatkan Presiden PKR itu adalah calon luar dengan mengaitkannya dari segi penggunaan loghat tempatan di Tambun yang berbeza dari luar Perak.

Pertembungan calon berprofil tinggi ini sudah pastinya dinantikan oleh semua pihak, sama ada Anwar mampu menewaskan Faizal seterusnya menawan negeri Perak atau sebaliknya. Terdahulu, Anwar merupakan ahli parlimen Port Dickson.

Khairy Jamaluddin

Teka-teki kerusi bakal ditandingi Khairy Jamaluddin (KJ) akhirnya terjawab apabila Menteri Kesihatan itu diumum sebagai calon Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengumuman dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia, minggu lalu.

Sebelum ini, penyandang kerusi Rembau itu dikaitkan dengan beberapa kerusi Parlimen iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka. Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau yang disandang sejak 2008 selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di kerusi berkenaan.

Walaupun dijangka sukar untuk memenangi kerusi tersebut memandangkan BN tewas dengan majoriti 20,000 pada 2018, KJ bagaimanapun tetap optimis dan berjanji melakukan yang terbaik jika beliau diberikan mandat pada PRU15 nanti.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani bukanlah nama yang asing bagi penduduk di Parlimen Titiwangsa. Walaupun tewas kepada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun pada 2018, Johari tetap mencurahkan bakti dan acap kali turun padang membantu orang ramai di parlimen tersebut.

PRU15 menyaksikan pertembungan ‘panas’ di antara Johari dengan beberapa nama hebat yang lain antaranya bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad yang mewakili AMANAH, Pengerusi Perhubungan PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam (PN).

Pernah memegang jawatan Menteri Kewangan II, Johari tekad untuk menyelesaikan isu setempat sekiranya diberikan semula mandat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum kali ini. Johari berkata empat fokus utamanya adalah isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru untuk projek pembangunan, nasib pemilik Flat PKNS Jalan Tun Razak, projek naik taraf Pasar Chow Kit yang terbengkalai 10 tahun dan isu Pasar Datuk Keramat.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Penyandang kerusi Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN), yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu. Ia susulan penerimaan penduduk Gombak terhadapnya selain hakikat dirinya sendiri adalah penduduk jati kawasan Parlimen itu.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan untuk meletakkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon bagi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menentang Azmin. Selain Amirudin, Azmin bakal menerima tentangan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional); Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad.

Seorang lagi calon bebas, Azwan Ali mengumumkan penarikan diri saat akhir untuk bertanding menentang abang kandungnya.

Syed Saddiq

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diumumkan kekal bertanding bagi mempertahankan kerusi di Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pencalonan Syed Saddiq itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz pada 2 November lalu.

Syed Saddiq yang merupakan penyandang kerusi berkenaan dijangka akan berentap dengan calon BN, Helmy Abdul Latif dan calon PN, Abdullah Husin. Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar ketika itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi.

Menurut Syed Saddiq, Muar begitu dekat dengan hatinya. Oleh itu, beliau tekad sentiasa bersama orang Muar untuk kali ini. Syed Saddiq sebelum ini berdepan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram. Pada 28 Okt, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq perlu membela diri.

Datuk Seri Shahidan Kassim

Selepas hampir 40 tahun di dalam arena politik UMNO di Perlis, karier politik Datuk Seri Shahidan Kassim bagaikan menuju penamat selepas nama beliau buat pertama kali digugurkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun begitu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan terus mempertahankan kerusi tersebut dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum kali ini.

Shahidan sebelum ini mendakwa presiden UMNO bersikap tidak jujur dan mengenepikan namanya daripada calon yang layak bertanding bagi Parlimen Arau. Shahidan merupakan tokoh atau figura politik cukup berpengaruh di Perlis dengan menguasai Parlimen Arau selama empat penggal.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×