
Hari Arafah merujuk kepada 9 Zulhijjah dalam kalendar Hijrah, iaitu hari kemuncak ibadah haji ketika para jemaah berkumpul dan berwukuf di Padang Arafah.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rebut Ganjaran Berganda 10 Hari Awal Zulhijjah, Ini Amalan Yang Digalakkan
Artikel Berkaitan: Ustaz Shafiq Kongsi Doa Mustajab 10 Hari Awal Zulhijjah
Puasa sunat Arafah
Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam bukan sahaja bagi jemaah haji, tetapi juga untuk seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Dalam konteks ibadah haji, Hari Arafah dikaitkan secara langsung dengan wukuf, iaitu berada di Arafah bermula dari tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Hari ini juga dianggap sebagai antara waktu paling mustajab untuk berdoa, di mana Allah SWT membebaskan hamba-hambaNya daripada api neraka dalam jumlah yang sangat besar.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, puasa Hari Arafah amat digalakkan kerana Rasulullah SAW menyatakan ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Dari sudut hukum, puasa Hari Arafah adalah sunat muakkad bagi mereka yang tidak mengerjakan haji menurut mazhab Syafie dan majoriti ulama. Namun bagi jemaah haji yang sedang berwukuf, mereka tidak digalakkan untuk berpuasa kerana dikhuatiri melemahkan tubuh dan mengganggu tumpuan ibadah.
Hal ini selari dengan amalan Rasulullah SAW yang tidak berpuasa ketika berwukuf di Arafah. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali turut mempunyai pandangan yang hampir sama, iaitu puasa disunatkan bagi bukan jemaah haji, manakala jemaah haji lebih utama untuk tidak berpuasa demi menjaga kekuatan ibadah.
Puasa Hari Arafah dimulakan dengan niat dalam hati atau lafaz niat seperti berikut:
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمِ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Nawaitu sawma yaumi ‘Arafata sunnatan lillāhi ta‘ālā
Maksudnya: ‘Sahaja aku berpuasa sunat Hari Arafah kerana Allah Ta‘ala.’
Niat ini boleh dilakukan pada waktu malam hingga sebelum tergelincir matahari bagi puasa sunat dan memadai dengan lintasan dalam hati walaupun melafazkannya adalah digalakkan bagi menguatkan niat.
Ini bermakna, berbeza dengan puasa wajib Ramadan yang niatnya mesti dilakukan sebelum fajar, puasa sunat mempunyai tempoh masa niat yang lebih fleksibel.
Namun, untuk mendapatkan kesempurnaan ibadah dan memudahkan urusan, adalah digalakkan seseorang itu berniat sejak malam hari atau sebelum terbit fajar.
Selain berpuasa, Hari Arafah juga dianjurkan untukmemperbanyakkan takbir, zikir tauhid, doa, serta amalan sedekah. Waktu antara Asar hingga Maghrib dianggap sebagai antara saat paling mustajab untuk berdoa, di samping memperbanyakkan permohonan keampunan dan hajat kepada Allah SWT.
Sumber: Aku Islam