Foto: Mynewshub
Umat Islam yang berbuka puasa lebih awal kerana azan Maghrib dari kesilapan stesen radio tempatan dianggap terbatal puasanya dan perlu diganti balik selepas Ramadan. Demikian penjelasan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai mengulas insiden yang terjadi di negara ini.
Artikel Berkaitan: Azan Berkumandang 4 Minit Lebih Awal, Penyampai Radio Mohon Maaf
Artikel Berkaitan: ‘Tidak Ada Payung Emas, Ia Hadis Palsu’ – Zulkifli Jawab Kenyataan Ramai Wanita Masuk Neraka Sebab Tolak Poligami
Batal puasa dan wajib qada
Gambar Hiasan
Semalam merupakan hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan. Waktu yang ditunggu-tunggu pastinya waktu berkumandangnya azan untuk berbuka puasa.
Namun begitu, bagi umat Islam di Tawau, Sabah yang mendengar azan melalui radio difahamkan telah berbuka puasa 4 minit lebih awal dari waktu yang sepatutnya.
Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah pun tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam. Wajib diqada semula menurut jumhur ulama.
Hantaran berbentuk infografik tersebut disiarkan menerusi laman sosial rasmi tokoh agama itu sebagai merujuk soalan adakah sah puasa jika juruhebahnya terkhilaf memasang azan awal.
Pihak stesen radio perlu lebih teliti
Gambar Hiasan
Kesilapan teknikal tidak dijangka pada hari pertama Ramadan semalam menyaksikan seorang penyampai radio Tawau FM memasang azan Maghrib dua kali iaitu pada 6.16 petang sebelum diulang ketika waktu sebenar 6.20 petang.
Ianya diumumkan sendiri oleh penyampai stesen radio tersebut melalui permohonan maaf secara peribadi yang dibuat di laman Facebook miliknya kepada umat Islam Tawau yang terkesan.
Mengulas lanjut, Zulkifli yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Sains Islam Malaysia menambah, dalil kepada isu itu merujuk pelbagai sumber fiqh yang muktabar.
Isu ini juga pernah dibangkitkan beliau sendiri ketika berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dengan kenyataannya itu disiarkan menerusi laman rasmi pejabatnya pada 2017 menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-97: Tersalah Berbuka Puasa Awal Kerana Azan Di Radio.
Pihak stesen penyiaran perlu lebih teliti supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku.
Zulkifli menegaskan bahawa dalam era serba moden, adalah mustahil tiada jadual takwim, jam atau aplikasi telefon pintar yang menyatakan waktu azan sebagai rujukan sebelum berbuka. Sewajarnya umat Islam dapat lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka lebih awal sebelum disahkan dengan penuh yakin walaupun bezanya beberapa minit.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan