berita

Pukau Ribuan Penonton, Konsert Teaterikal Suara Kita Imbau Kenangan Cinta Awie & Erra Fazira

March 4th, 2014 | by Ai
Kini Trending

Malam Prebiu Media Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana-177

Hari pertama Konsert Teaterikal Suara Kita yang menggandingkan nama-nama besar, Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira telah berlangsung dengan jayanya pada malam Isnin lepas.

Teater muzikal yang julung-julung kali diadakan oleh syarikat produksi Awie itu dimulakan dengan persembahan nyanyian secara berselang-seli bermula dengan lagu Puncak Kasih disusuli oleh Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Bara.

Saat pertama kali suara ketiga-tiga penyanyi dan pelakon terkenal itu kedengaran, penonton mula bersorak kegembiraan sambil menyanyi bersama mengikut bait-bait lirik yang penuh dengan kenangan lama.

Malam Prebiu Media Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana-4

Jika segmen pertama hanya diserikan dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 90an, penonton kemudiannya dihiburkan dengan sketsa menarik antara Awie, Ziana dan Erra yang mana jalan ceritanya berkisarkan kepada filem-filem popular lakonan mereka antaranya Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah.

Para peminat tegar yang sentiasa mengikuti perkembangan ketiga-tiga selebriti popular ini pastinya cukup arif dengan gosip cinta penuh kontroversi yang pernah mengaitkan Awie dengan Erra suatu ketika dulu.

Bukan sekadar di dalam filem, namun kisah cinta mereka turut berlarutan hingga ke luar set penggambaran hinggalah Awie dan Erra memutuskan untuk bertunang sebelum mereka akhirnya berpisah selepas beberapa tahun menjalin cinta.

Malam Prebiu Media Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana-105

Seluruh panggung yang dipenuhi hampir 1,500 penonton pada malam itu bagaikan dibawa mengembara semula ke masa lalu di saat Awie dan Erra sedang bercinta sehinggakan penonton dapat merasakan sendiri kepedihan hati antara pasangan ini menerusi salah satu babak di dalam filem Tragedi Oktober.

Malah penjiwaan Erra sebagai seorang wanita yang ditindas gara-gara cintanya dengan Awie terhalang juga mampu memberi impak kepada penonton, lebih-lebih lagi apabila bekas Ratu Cantik Malaysia itu menyampaikan lagu duet bersama Awie sebelum mengakhiri persembahan mereka.

Bagaimanapun, sejak dari awal persembahan lagi Erra telah menjelaskan bahawa segala adegan yang ditonjolkan dalam konsert berkenaan hanyalah sekadar lakonan semata-mata dan enggan spekulasi terbaru timbul mengaitkan nama mereka dengan kisah lalu lagi.

Malam Prebiu Media Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana-95

Manakala Awie juga berulang kali berterima kasih kepada isteri tercinta, Rozana Misbun kerana memberi lampu hijau kepadanya untuk berganding semula dengan Erra demi projek unggul ini.

Menurut Awie, tujuan utama mengadakan konsert ini adalah untuk menamatkan segala spekulasi yang sering bertebaran selama ini selepas dia dan Erra dilanda kontroversi beberapa tahun lalu.

Sebenarnya tujuan saya menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita ini adalah untuk memberitahu semua orang bahawa saya dan Erra masih boleh menjadi kawan dan BFF (Best Friends Forever) biarpun kami pernah menghadapi masalah sebelum ini.

Selain gandingan mantap Awie dan Erra, tidak lengkap rasanya jika nama Ziana tidak diangkat sebagai salah seorang teraju utama yang menjayakan persembahan mereka. Dari apa yang diperhatikan, Ziana juga layak diberikan pujian kerana berjaya memberikan lakonan spontan dan mencuit hati biarpun pertama kali melibatkan diri di dalam teater.

Malam Prebiu Media Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana-88

Secara peribadinya, Awie pula disifatkan sebagai penghibur terbaik pada konsert berkenaan apabila berjaya membuatkan penonton tertawa geli hati dengan karakternya yang diubah sedikit dari cerita asal.

Kalau anda nak tahu apakah kelainan yang diberikan oleh Awie di dalam Konsert Teaterikal Suara Kita ini, jangan lupa dapatkan tiket dan saksikan penyanyi pujaan ramai ini menyanyikan lagu-lagu yang pernah mencipta fenomena seperti Di Ambang Wati, Ratuku, Senja Nan Merah, Kekal, Bersama Akhirnya, Jendela Hati, Pasrah dan banyak lagi.

Untuk pengetahuan anda, tiket persembahan yang berlangsung dari 3 Mac hingga 9 Mac 2014 di Panggung Sari Istana Budaya ini mula dijual dari harga RM79 hingga RM499 dan boleh dibeli di kaunter Istana Budaya ataupun layari Ticket2u.