berita

Pukul, Ugut Nak Tembak Pemandu Peribadi, Ahli Perniagaan Ditahan Polis

May 3rd, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Tangkap layar video

Di media sosial, tular beberapa klip video memaparkan seorang lelaki yang didakwa telah mengugut dan menendang pekerjanya sendiri di hadapan rumahnya. Difahamkan, mangsa bekerja sebagai pemandu peribadi kepada suspek.

Video tersebut bagaimanapun, membangkitkan amarah dalam kalangan warganet yang mengecam tindakan lelaki itu.

Sudah ditahan pihak polis

Foto: Tangkap layar video

Lapor Harian Metro, tindakan di luar kawalan seorang ahli perniagaan itu membawa ‘padah’ apabila dia telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian itu. Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mangsa yang berusia 28 tahun, telah membuat laporan kepada pihak polis susulan dia telah diugut oleh majikannya yang berusia 52 tahun ketika berada di rumah suspek di Country Height.

Mangsa dan suspek bertengkar dan ketika itu, majikannya mengugut untuk menembak lelaki terbabit sekiranya dia keluar dari rumah berkenaan.

Pada masa yang sama, suspek juga dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa sebelum bertindak menendangnya di bahagian bahu. Apa yang lebih mengejutkan, apabila suspek turut bertindak merosakkan motosikal milik mangsa. Perkara tersebut secara tidak langsung menyukarkan mangsa untuk meminta bantuan orang ramai sebelum sempat melarikan diri untuk membuat laporan polis.

Suspek sudah direman

Sekadar gambar hiasan

Kini, pihak polis sudah menahan suspek dan siasatan akan dibuat berikutan tindakannya yang mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa.

Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang pada 4.50 petang semalam.

Suspek direman selama dua hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506/427/341 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, pihak polis turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×