
Pelakon, Qi Razali menyifatkan kejayaan Aedy Ashraf menerbitkan filem terbaharunya sebagai titik tolak dan inspirasi untuk mengejar cita-citanya bergelar seorang pengarah.
Artikel Berkaitan: Netizen Rindu Qi Razali – ‘Memang Seronok Kalau Dia Jadi Pengacara Rancangan Travelog’
Artikel Berkaitan: Qi Razali Teruja Sambut Cahaya Mata Sulung, Pilih Nama Melayu Klasik – ‘Baru Tahu Baju Baby Ada Kosong Tahun’
Cita-cita

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Qushairi Muhammed Razali, 49, mengakui sudah lama memasang impian itu dan kini semakin bersemangat untuk merealisasikannya.
Cita-cita saya memang nak jadi pengarah satu hari nanti. Untuk filem ini, saya jadi penolong pengarah dahulu. Ramai yang fikir senang tetapi tidak mudah untuk jadi pengarah.
Perkara yang betul-betul buat saya terdetik apabila saya melihat Aedy mengambil langkah untuk menerbitkan filemnya.
Bagi saya itu adalah satu kelainan dan saya pun ikuti perkembangan dia selain menonton filemnya.
Ini bermakna tidak mustahil untuk menghasilkan filem sekiranya mempunyai pasukan yang baik serta dana yang mencukupi.
Qi berkata demikian ketika ditemui ketika sesi lawatan media ke lokasi penggambaran drama terbaharunya Wish List.
Kata Qi, pasukannya kini berada dalam proses memperkemaskan skrip dan juga jalan cerita filemnya.
Selain berlakon, saya juga mengambil langkah mengumpulkan kawan-kawan untuk menghasilkan projek filem sendiri.
Dalam filem itu saya memegang satu watak selain bertindak sebagai penerbit dan penolong pengarah
Dalam perkembangan lain, Qi yang sudah lama tidak muncul dalam drama televisyen kembali berlakon dalam drama berepisod bertajuk Wish List arahan Michael Ang.
Qi berkata drama itu membuatkannya tertarik dengan kelainan yang diketengahkan selain mahu mempamerkan kepelbagaian watak yang mampu dibawakannya.
Selain Qi, drama itu diterajui oleh Lorenzo Irmann, Arabella Ellen, Ramona Zamzam, Sharifah Zarina, Azqa Aziz dan Norazah Aziz dan ditayangkan setiap Rabu dan Khamis pada jam 9 di Astro Ria.








