Pelakon, Qi Razali mengakui teruja menyambut kehadiran cahaya mata sulung yang dijangka bakal lahir pada hujung Januari ini.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Qi Razali Makin Bahagia, Impi Bergelar Bapa – ‘Saya Terbayang Nak Hantar Anak Masuk Kelas Piano’

Artikel Berkaitan: Qi Razali Nikah Pada Usia 48 Tahun, Isteri Curi Tumpuan Solek Sendiri Di Hari Perkahwinan

Persediaan jadi bapa

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata, banyak persiapan yang telah dilakukan termasuk memilih beberapa nama untuk bayinya.

Sudah beli lampin dan sabun yang tiada bahan kimia, ‘baby cot’ pun sudah ada, siapkan biliknya dan sebagainya. Jadi benda asas sudah ada dan bila buat persediaan ini saya baru tahu baju ‘baby’ ada saiz kosong tahun.

Insya-Allah anak saya akan lahir pada hujung bulan ini dan sebenarnya dalam jadual saya pun ada kerja yang perlu dilakukan tapi mungkin kita boleh berbincang sekiranya tarikh bertembung nanti.

Saya sudah ada pilihan nama klasik Melayu dan moden. Kita mahukan nama klasik sebab mahu anak tahu asal-usul dan keturunannya, tak mahulah terlalu moden sebab keluarga saya semuanya guna nama Melayu.

Qi berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan media filem Pemuja di TGV The Starling Mall, pada Selasa.

Tambah pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), dia banyak mendapatkan nasihat daripada rakan terdekat berhubung persediaan menyambut kelahiran anak dan peranan sebagai seorang bapa.

Semua orang bertanya sudah sedia ke nak ada mata panda dan rasa saya faham kenapa pada awalnya lelaki yang kena berjaga malam sebab isteri baru bersalin.

Saya tak tahu nak cakap bersedia berjaga malam atau tidak, tapi berjaga tengah malam nak tengok bola boleh pula. Tapi sekarang ini tengok perlawanan bola, separuh masa pun dah tertidur.

Apa pun memang saya banyak bertanya pada kawan terdekat sebab saya mahu anak saya selesa dan isteri saya juga selesa.

Qi turut berkongsi, berdasarkan jangkaan awal doktor, anak yang bakal dilahirkan kemungkinan perempuan.

Untuk rekod, Qi mendirikan rumah tangga dengan Wardah Hayati pada Mei tahun lalu.

Selain Qi, Pemuju yang bakal ditayangkan pada 22 Januari ini turut dibintangi Yasmin Hani, Datin Maria Farida, Namron dan ramai lagi.