

Selepas kejayaan luar biasa di Indonesia, filem seram aksi Qodrat 2 kini bersedia menggegarkan pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini (17 April).
Qodrat 2

Filem arahan Charles Gozali menerusi kerjasama bersama Astro Shaw ini bukan sekadar filem seram biasa tetapi ia tampil dengan gabungan elemen aksi, thriller, keagamaan dan superhero, menjadikan Qodrat 2 unik dan luar dari kebiasaan filem seram Indonesia.
Meskipun tiada ‘jumpscare’ berlebihan tetapi penonton tetap dibawa dalam dunia yang penuh misteri, emosi dan pertarungan menentang kejahatan.
Filem ini mengisahkan ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) yang cuba menyelamatkan isterinya Azizah (Acha Septriasa) daripada pengaruh syaitan Asu’ala. Azizah yang mengalami gangguan emosi selepas insiden kehilangan anak mereka, akhirnya menyerahkan keimanannya kepada iblis demi menyelamatkan si kecil.
Menariknya, Qodrat 2 juga menandakan kemunculan semula Acha Septriasa ke layar perak, dan gandingan semula dengan Vino selepas 17 tahun sejak filem romantik mereka dulu.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw, Qodrat 2 membawa nafas baru kepada genre seram tempatan dengan gabungan elemen aksi, agama dan emosi.
Sementara itu, penerbit Linda Gozali Arya yakin penonton Malaysia akan terkesan dengan kekuatan cerita dan nilai spiritual dalam naskhah ini.
Qodrat 2 bukan hanya lanjutan dari filem seram yang mempunyai unsur agama paling berjaya di Indonesia, tetapi juga memberi penonton sebuah pengalaman spiritual dan sinematik yang lebih dalam dan besar.
Kami rasa bangga dapat mempersembahkan karya ini kepada penonton Malaysia, yang kami percaya mempunyai budaya dan semangat yang sama. Kami harap penonton di Malaysia dapat merasakan kekuatan cerita dan energi luar biasa daripada filem ini.
Sejak hari pertama tayangan di Indonesia pada 31 Mac lalu, Qodrat 2 berjaya menarik lebih 72,000 penonton, dan kini mencatat lebih 2 juta penonton keseluruhan.
Antara pelakon lain yang menjayakan filem arahan Charles Gozali ini ialah Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati, Septian Dwi Cahyo dan ramai lagi.
Tayangan pertama Qodrat dahulu pernah mencecah 1.7 juta penonton di Indonesia dan mencatat kutipan lebih RM6 juta di Malaysia, membuktikan sambutan hangat peminat seram nusantara!
Jangan lupa saksikan Qodrat 2 di pawagam bermula 17 April 2025 dan gunakan tanda pagar #Qodrat2MY #FilmQodrat2 untuk berkongsi pengalaman anda.








