Penyanyi terkenal dari Indonesia, Raisa, bakal menggegarkan pentas Malaysia sekali lagi dalam usaha menemui peminat setianya menerusi konsert jelajah terbaharu yang diberi nama ‘Raisa Ambivert Tour’.

Artikel Berkaitan: ‘Setelah Lalui Banyak Pertimbangan, Kami Memilih Untuk Tempuh Jalan Masing-Masing’ – Raisa & Hamish Daud

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Raisa Simpati Dengan Insiden Menimpa Nadin Amizah

Tema ‘Ambivert’

Konsert yang sekian lama dinanti-nantikan ini akan diadakan pada 13 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur, dengan tirai persembahan dibuka tepat jam 8.30 malam.

Dengan kerjasama Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My sebagai penganjur utama, serta sokongan Juni Concert selaku rakan strategik, konsert ini menjanjikan persembahan Raisa yang lebih bersifat peribadi berlandaskan tema ‘Ambivert’.

Tema tersebut menggambarkan keunikan keperibadian diri Raisa yang menyatukan kekuatan emosi dan kepelbagaian ekspresi dalam sebuah persembahan yang sarat dengan tenaga dan semangat.

Menurut En. Mohd Fuad bin Simim selaku Pengarah Sembang Kari Entertainment, menyatakan bahawa Raisa ke Kuala Lumpur merupakan satu penghormatan besar.

Bagi kami di Sembang Kari Entertainment, membawa semula Raisa ke Kuala Lumpur adalah satu penghormatan kerana dia mempunyai hubungan emosi yang sangat kuat dengan peminat di sini.

Menerusi konsep ‘Ambivert’ ini, kami ingin memberi ruang kepada peminat untuk melihat sisi Raisa yang lebih jujur, di mana ada ketikanya suasana menjadi sangat dekat dan ‘healing’, manakala ada masanya pula penuh dengan keriangan pop yang dinamik.

Kami mahu setiap penonton pulang dengan rasa puas setelah melalui sebuah kembara perasaan yang diceritakan menerusi vokal hebatnya.

Sementara itu, En. Adi Acong, wakil penganjur bersama daripada MHT Live My, menyatakan rasa teruja dan berbangga kerana pihak MHT Live My dapat bekerjasama dalam merealisasikan penganjuran Raisa Ambivert Tour di Malaysia.

Kami di MHT Live MY berasa amat bangga dapat bekerjasama dalam merealisasikan ‘Raisa Ambivert Tour’ di Malaysia.

Raisa adalah seorang pencerita yang hebat menerusi lagu-lagunya, dan melalui tema unik ini, peminat akan disajikan dengan sebuah pengalaman audio-visual yang sangat istimewa di Zepp KL.

Kami komited untuk memastikan setiap aspek produksi berada pada tahap tertinggi demi memberikan memori yang tidak akan dilupakan oleh semua peminat Raisa di Malaysia.

Raisa turut meluahkan keterujaannya untuk kembali berjumpa dan berinteraksi dengan para peminat di Malaysia.

Kuala Lumpur sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana sokongan peminat di sini yang luar biasa dan sentiasa memberikan tenaga yang positif.

Menerusi ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi berbeza dalam diri saya, ada masanya yang sangat intim dan tenang, dan ada yang penuh dengan keriangan.

Saya telah menyediakan susunan muzik yang istimewa untuk malam itu dan tidak sabar untuk mencipta kenangan baharu bersama anda semua.

Persembahan pada malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran seorang penyanyi berbakat besar, iaitu Barsena Bestandhi yang bakal tampil sebagai artis undangan dan menyuntik kelainan dari segi nuansa muzik kepada keseluruhan konsert.

Harga tiket

Bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih memuaskan, pihak penganjur telah menawarkan pelbagai kategori tiket bagi memenuhi keperluan penonton.

Pilihan termasuk VIP Box berharga RM999 yang menawarkan pengalaman eksklusif lengkap dengan sesi temu ramah mesra dan barangan istimewa dan Cat 3 pada RM599 dengan tempat duduk bernombor premium.

Selain itu, Cat 4 yang berharga RM499 dengan tempat duduk bernombor, Cat 1 pada harga RM269 untuk penonton berdiri di barisan hadapan, dan Cat 2 dijual pada harga RM239 bagi mereka yang memilih berdiri secara bebas.

Harga tiket yang ditawarkan tidak termasuk caj tambahan, dan pihak penganjur menyediakan kemudahan pembayaran yang fleksibel termasuk pilihan ansuran melalui SPayLater, PayLater by Grab, dan Atome.

Bagi pemegang tiket VIP Box, mereka berpeluang menikmati pelbagai keistimewaan seperti beg tote eksklusif, lanyard VIP, poster, snek, serta akses istimewa untuk menyertai sesi ramah mesra bersama Raisa.

Kesemua tiket boleh diperoleh dengan mudah melalui laman web rasmi konsert di RAISAMBIVERT.COM.