Pengarah dan pelakon, Raja Azrey, muncul dengan sebuah iklan raya penuh emosi berjudul Syurga Yang Terhiris, terbitan OatLife, yang sudah ditayangkan bermula 1 Mac.

Artikel Berkaitan: Raja Azrey Beri Peluang Bakat Baharu Tunjuk Skil Lakonan Dalam Telefilem ‘Toyol Kuala Muda’

Artikel Berkaitan: Raja Azrey Terkilan Nama Kerap Ditolak Produksi & Stesen TV

Mengisahkan tentang ibu

Menariknya, Syurga Yang Terhiris merupakan iklan hari raya yang sulung diterbitkan OatLife, dan Raja Azrey diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menerajui karya ini sebagai penulis dan juga pengarah.

Iklan raya ini mengisahkan tentang seorang ibu yang hatinya terluka tanpa disedari.

Syurga Yang Terhiris menampilkan lakonan Shahriza Mahmud bersama anaknya yang dilakonkan oleh Fendy Bakry, serta turut dibantu oleh Sathiya dan Puspa Gomen.

Meskipun pada zahirnya ia tampak seperti cerita kekeluargaan yang biasa, namun Raja Azrey menegaskan bahawa gaya penceritaan yang diketengahkan sebenarnya lebih unik dan menyentuh emosi secara lebih mendalam.

Saya cuba bawa satu sudut pandang tentang bagaimana hati seorang ibu boleh terluka tanpa kita sedari.

Seorang ibu mungkin tidak marah, tetapi dia memendam perasaan dan itu sebenarnya jauh lebih pedih.

Dalam iklan Syurga Yang Terhiris, watak anak dipaparkan sebagai individu yang sering tersasar dan membuat pelbagai kesilapan hingga tanpa sedar mengguris perasaan ibunya.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan kampung halaman serta ibunya selama lima tahun.

Dalam tempoh itu, satu kejadian tragis berlaku apabila ibunya mengalami kemalangan, namun dia tidak pernah mengetahui perkara tersebut.

Lebih menyayat hati, kecederaan ibunya itu berpunca daripada usahanya mengejar anak yang meninggalkannya.

Hanya selepas lima tahun, apabila dia berjaya di perantauan, barulah kebenaran terbongkar.

Cerita ini lebih kepada peringatan.

Jangan sampai kita usik hati ibu kita.

Walaupun dia diam, luka itu tetap ada.

Iklan raya yang menyentuh hati

Mengulas lebih lanjut, Azrey menjelaskan bahawa dalam tema Hari Raya dan kekeluargaan, kebanyakan karya biasanya memfokuskan kepada watak ibu atau bapa sahaja.

Namun, kali ini dia memilih untuk menumpukan sepenuhnya kepada watak ibu kerana sifatnya paling dekat dengan anak-anak.

Banyak perkara yang kita buat dengan ibu tanpa sedar.

Jadi cerita ini saya jadikan sebagai pengajaran, selari dengan apa yang diinginkan oleh pihak OatLife sendiri.

Selain itu, untuk musim perayaan tahun ini, Syurga Yang Terhiris menjadi antara iklan raya ke-9 atau ke-10 yang pernah diarahkan dalam industri kreatif.

Di samping itu, dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah lagi iklan raya berbentuk komedi berjudul Ketupat Keras, terbitan Berkat Padi Sdn Bhd dari Sungai Besar.

Iklan raya Ketupat Keras berbeza dengan Syurga Yang Terhiris, kerana ia menampilkan konsep yang santai dan humor tanpa elemen kesedihan.

Antara pelakon yang terlibat bagi Ketupat Keras ialah Man Raja Lawak, Puspa Gomen, serta Riez Radzi, dan kini iklan tersebut berada dalam fasa suntingan.

Setakat ini, saya hanya terlibat dengan dua iklan raya sahaja.

Saya tak ambil terlalu banyak kerana ada komitmen lain.

Walaupun sibuk dengan penggambaran drama, iklan raya, dan projek teater, Azrey tetap komited dengan menerima tawaran yang sesuai dengan masa dan minatnya.

Katanya, sebelum ini baru sahaja menamatkan pementasan teater Persidangan Hantu di Melaka, dan merancang untuk kembali aktif dalam dunia teater selepas Aidilfitri termasuk sebuah karya baharu berkonsepkan sejarah yang masih dalam peringkat perancangan.

Saya masih bergerak sepanjang bulan puasa selagi belum hari raya.

Shooting iklan raya biasanya singkat, satu atau dua hari sahaja.

Dengan sentuhan emosi, mesej kekeluargaan yang kuat, dan pendekatan penceritaan yang jujur, Syurga Yang Terhiris dijangka menjadi antara iklan raya yang menyentuh hati penonton pada musim perayaan tahun ini.