Korang rasa hidup anak muda hanya berputar di sekitar kerja dan study? Pernah dengar program Rakan Muda?
Rakan Muda, program belia yang sudah tidak asing lagi di Malaysia, telah mengalami transformasi besar-besaran pada tahun 2023 yang pastinya akan memeriahkan rutin harian korang dengan pelbagai pembaharuan menarik.
Bayangkan sebuah program yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memanfaatkan, membantu untuk kekal aktif dan sihat, itulah yang Rakan Muda tawarkan sekarang!
Dengan penambahbaikan yang mengujakan, termasuk fokus baru pada kesejahteraan mental, aktiviti digital yang cool dan peluang yang lebih luas untuk semua, Rakan Muda kini lebih daripada sekadar program belia biasa.
Rakan Muda, penggalak gaya hidup aktif belia
Rakan Muda adalah program inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat di kalangan anak muda.
Fokus utama Rakan Muda adalah untuk menyesuaikan program dengan keperluan dan kehendak anak muda yang moden termasuk penekanan pada penggunaan teknologi dan platform digital dalam penyampaian aktiviti.
Barulah korang ada work-life balance!
Terokai minat, 10 bidang gaya hidup yang ditawarkan Rakan Muda
Rakan Muda menawarkan pelbagai program gaya hidup yang dirancang untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Jom ketahui penawaran 10 bidang yang ditawarkan.
1. Rakan Aktif
Korang yang gemar bersukan atau melakukan aktiviti outdoor memang sesuai sertai Rakan Aktif. Korang berpeluang menyertai pelbagai aktiviti fizikal yang membentuk masyarakat yang lebih aktif dan cergas.
2. Rakan Bumi
Jika korang mahu menjadi pelindung alam sekitar, Rakan Bumi sangat sesuai untuk korang. Mana tidaknya, korang akan didedahkan dan meneroka kepentingan penjagaan alam sekitar dan kelestarian iklim untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Malaysia.
3. Rakan Demokrasi
Bagi Rakan Demokrasi, korang akan mempelajari prinsip-prinsip demokrasi negara dan perlembagaan persekutuan, yang akan membantu melahirkan generasi muda yang terlibat dalam pembangunan negara.
4. Rakan Digital
Korang akan mempelajari pelbagai saluran untuk menggalakkan kreativiti dan inovasi digital, serta dididik untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab.
5. Rakan Ekspresi
Korang dapat menyalurkan bakat, minat dan idea kreatif melalui cara bercakap, menulis, melukis dan bentuk seni lain berdasarkan nilai moral yang baik, adab dan etika yang betul.
6. Rakan Litar
Untuk korang yang gemar sukan bermotor, korang akan dapat memberi tumpuan aktiviti sukan bermotor dan aktiviti di litar untuk membina persaingan yang sihat dalam kalangan generasi muda.
7. Rakan Mahir
Pelbagai pengetahuan dalam pendidikan formal dan tidak formal dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional melalui bengkel dan aktiviti berasaskan kemahiran dapat diperoleh jika sertai Rakan Mahir.
8. Rakan Muzik
Rasa diri korang berbakat dalam muzik? Korang boleh mengasah kemahiran dalam bermain alat muzik, mencipta muzik, menulis lirik, menyanyi dan membuat persembahan melalui Rakan Muzik.
9. Rakan Niaga
Pelajari tentang perniagaan dan keusahawanan melalui pelbagai latihan yang membangunkan keupayaan dan inovasi belia, dalam usaha untuk memperbaiki ekonomi negara.
10. Rakan Prihatin
Rakan Prihatin bertujuan untuk memupuk rasa empati dan simpati dalam kalangan belia dengan menanamkan nilai sukarelawan dan sinergi antara generasi.
Best kan? Jomlah jadi sebahagian dari Rakan Muda
Korang yang berumur antara 15 hingga 30 tahun boleh sertai Rakan Muda ini. Pilih sahaja mengikut minat korang!
Bagaimana nak sertai? Mudah saja! Kunjungi laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, daftar dalam talian, dan mulakan perjalanan korang dengan Rakan Muda hari ini!
Dengan pembaharuan hebat ini, Rakan Muda bukan sahaja bertambah baik, tetapi juga lebih relevan untuk anak muda zaman sekarang. Jadi, jika korang ingin terlibat dalam program-program menarik ini, pastikan korang tidak ketinggalan!
Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman sesawang ini. Tunggu apa lagi?